Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Suasana sayu selubungi Balairung Seri Istana Abu Bakar


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





PEKAN, 22 Mei (Bernama) -- Suasana sayu dan suram menyelubungi Istana Abu Bakar di sini, malam ini apabila jenazah Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dibawa masuk ke persada yang terletak di tengah-tengah Balairung Seri. 

Jenazah Almarhum dibawa masuk pada 9.20 malam oleh pasukan Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diikuti 18 jejawat. 

Turut berada di Balairung Seri ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, anakanda Almarhum, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman dan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fahd Mu'adzam Shah serta bonda baginda Sultanah Kalsom. 

Kira-kira 200 orang terdiri daripada kaum kerabat, orang kenamaan dan pembesar negeri Pahang kemudiannya menunaikan solat jenazah yang diimamkan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman di Balairung Seri.  

Rakyat jelata mula kelihatan memasuki Balairung Seri bemula pukul 10.30 malam ini, untuk menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang kelima. 

Mereka yang datang secara berkumpulan dilihat mengambil giliran untuk masuk ke dalam Balairung Seri dan rakyat beragama Islam melakukan solat jenazah dalam kumpulan kecil dan berdoa. 

Ayat suci Al-Quran dibacakan oleh kira-kira 100 pelajar tahfiz dari sekitar Kuantan dan Pekan. 

Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi. 

Jenazah Almarhum tiba di Pangkalan Udara Kuantan pada 7.25 petang dengan menaiki pesawat khas sebelum dibawa ke Istana Abu Bakar dengan diiringi oleh tujuh buah motosikal PDRM. 

Tunku Azizah turut mengiringi perjalanan jenazah dari Istana Negara ke Istana Abu Bakar. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Kedah perkasa kedudukan dalam industri kertas teknologi hijau

 
     

Wabak coronavirus tidak jejas tahun melawat Johor -- Exco pelancongan

 
     

Ibu tunggal didakwa bunuh anak sendiri

 
     

Tiada rancangan laksanakan kajian mansuh butiran agama pada kad pengenalan - KDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel