Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelajar pekak, bisu sebak ketika lafaz taklif guna bahasa isyarat


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Nurul Husna Ibrahim serta beberapa rakan lain tidak dapat menahan sebak sebaik selesai membaca lafaz penyerahan tanggungjawab (taklif) bersama Guru Besar sekolahnya, Norhafizah Suhaimi, pada satu majlis di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, di sini.

Pelajar berusia 19 tahun itu merupakan salah seorang pelajar pekak dan bisu di Sekolah Agama Pendidikan Khas (SAPK) Johor Bahru yang turut bersama empat lagi rakannya, membacakan lafaz taklif menggunakan bahasa isyarat.

Norhafizah, selaku wakil ibu bapa mereka, juga membacakan lafaz taklif menerusi bahasa isyarat pada Program Penyerahan Taklif, Khatam Al-Quran dan Majlis Berbuka Puasa Peringkat Perdana anjuran Pejabat Pendidikan Islam Daerah itu petang semalam.

Menurut Norhafizah, Nurul Husna telah kehilangan ibunya akibat barah rahim pada tahun 2014 ketika pelajar itu berusia 14 tahun.

"Semenjak kematian ibunya, Nurul Husna telah diamanahkan kepada kami iaitu tenaga pengajar di SAPK untuk dibesarkan," katanya ketika ditemui selepas selesai sesi taklif tersebut.

Norhafizah berkata dia percaya didikan awal daripada ibu bapa amat mempengaruhi peribadi seseorang anak apabila mereka dewasa.

"Nurul Husna sejak kecil telah dididik oleh ibunya untuk menjaga solat, menghormati orang tua serta menutup aurat dan sehingga hembusan nafas terakhir ibunya, Husna masih mengamalkan setiap ajaran ibunya itu," katanya.

Tambah beliau, anak bongsu daripada lima adik beradik itu pernah dilihat sendirian menguruskan arwah ibunya yang sedang sakit di rumah mereka.

"Saya sendiri tengok Nurul Husna mandikan ibunya, sikat rambutnya dan dia juga yang uruskan makan minum ibunya ketika arwah sedang sakit dulu," kata guru besar sekolah tersebut.

Selepas Nurul Husna tinggal bersamanya di asrama SAPK, dia telah mengajar gadis itu membaca Al Quran.

Katanya, anak-anak istimewa seperti Nurul Husna mengambil masa lama untuk membaca al-Quran dengan menggunakan bahasa isyarat kerana setiap huruf perlu dibaca satu persatu dengan menggunakan isyarat tangan.

"Di SAPK, kita ada sembilan orang tenaga pengajar yang mahir menggunakan  kaedah fakih dalam usaha memastikan murid-murid kelainan upaya ini juga mampu membaca Al Quran," katanya.

Dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar istimewa ini, tenaga pengajar perlu memiliki sifat sabar yang tinggi dan istiqamah untuk mengulangi sesuatu ilmu yang disampaikan setiap hari, agar ilmu tersebut melekat pada anak-anak istimewa itu.

Dia yang lebih mesra dipanggil Ummi di sekolah itu berkata silibus yang ditetapkan oleh kurikulum pendidikan sekolah agama kerajaan negeri Johor juga terpaksa direndahkan agar anak-anak ini menguasai sepenuhnya asas Fardhu Ain dalam Islam.  

SAPK Johor Bahru kini mempunyai seramai 67 orang pelajar dan jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat lantaran ramai ibu bapa yang kian sedar akan pentingnya pendidikan agama kepada annak-anak kelainan upaya. 

Norhafizah juga berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi bagi memberi peluang dan ruang kepada anak-anak kelainan upaya untuk turut serta dalam aktiviti berkenaan. 

-- BERNAMA   


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel