Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Untung bersih BIMB meningkat kepada RM202.5 juta pada Q1


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih dicatatkan BIMB Holdings Bhd pada suku pertama (Q1) berakhir 31 Mac, 2019 meningkat sebanyak 17.7 peratus kepada RM202.5 juta daripada RM172.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Perolehan melonjak kepada RM1.18 bilion daripada RM999.3 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Kumpulan perkhidmatan kewangan Islam perdana Malaysia itu berkata ia mencatatkan pulangan ekuiti tahunan sebanyak 16.1 peratus, antara yang tertinggi dalam industri.

Cabang perbankan Islamnya, Bank Islam Malaysia Bhd, mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM219.9 juta bagi Q1 2019, meningkat RM12.7 juta atau 6.1 peratus berbanding  RM207.2 million dalam suku sama pada tahun sebelumnya .

Peningkatan PBZT itu dipacu oleh jumlah pendapatan lebih tinggi.

Jumlah aset bank itu adalah sebanyak RM63.3 bilion pada 31 Mac, 2019, peningkatan tahun ke tahun RM4.6 bilion daripada RM58.7 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan pembiayaan bersih sebanyak RM3.7 billon dan pelaburan sekuriti sebanyak RM2.9 bilion.

“Peningkatan menyeluruh itu,  bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh tunai lebih rendah dan dana jangka pendek sebanyak RM2.7 bilion,” katanya.

Pada akhir Mac2019, deposit pelanggan dan akaun pelaburan berjumlah  RM53.8 bilion dengan peningkatan tahun ke tahun RM2.1 bilion atau 4.0 peratus.

Bagi segmen Takaful, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd mencatatkan 33.5 peratus lebih tinggi bagi PBZT iaitu RM113.3 juta berbanding RM84.9 juta bagi tempoh sama pada 2018.

Perolehannya meningkat 23.1 peratus kepada RM918.2 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac, 2019, berbanding tempoh sama tahun lepas, sebahagian besarnya disumbangkan oleh jualan lebih tinggi yang dijana perniagaan Takaful Keluarga.

Meskipun sentimen perniagaan kekal berhati-hati pada tahun ini, industri Takaful dijangka mengatasi insurans konvensional berdasarkan permintaan kukuh terhadap produk Takaful.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel