Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ahmad Zahid gagal cubaan terakhir dapatkan pasport untuk tunai umrah


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





PUTRAJAYA, 23 Mei (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  untuk mendapatkan pasportnya daripada mahkamah untuk mengerjakan umrah di Makkah.

Penal lima hakim diketuai oleh Hakim Tan Sri Azahar Mohamed sebulat suara menolak rayuan Ahmad Zahid  yang menghadapi 47 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah (CBT) dan rasuah.

Anggota penal hakim yang lain ialah Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Tan Sri Idrus Harun and Datuk P. Nallini.

Ketika  menyampaikan keputusan itu, Hakim Azahar berkata, panel mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah telah memutuskan dengan cukup dan bijak dan mengambil kira semua faktor yang relevan dalam menolak permohonan Ahmad Zahid.

Katanya, mereka juga mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah memberi alasan mengapa beliau tidak menggunakan budi bicara dalam menyokong permohonan perayu (Ahmad Zahid).

“Hakim mahkamah tinggi telah mempertimbangkan bahawa Ahmad Zahid menghadapi tuduhan serius dan banyak dan pembatalan permohonannya dibuat untuk mencegah terjadinya pelanggaran terhadap  peraturan  jaminan.

“Kami mendapati bahawa tiada sebab yang sahih untuk kami menganggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi. Justeru kami menolak rayuan ini dan mengekalkan keputusan mahkamah Tinggi,” katanya, 

  Ahmad Zahid tidak hadir di mahkamah kerana terpaksa ke Pekan bagi menghadiri upacara pengkebumian Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, yang mangkat semalam.

Panel itu membuat keputusan tersebut setelah mendengar hujah daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi yang bertindak sebagai  pendakwaan.

Anggota  Parlimen Bagan Datuk itu  merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Mei tahun ini yang menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Mei tahun ini, yang menolak permohonannya untuk memulangkan pasportnya  sementara untuk mengerjakan umrah.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember tahun lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 46 pertuduhan, yang terdiri daripada 11 pertuduhan CBT, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 20 Feb tahun ini, beliau dituduh dengan caj CBT yang melibatkan RM260,000 milik Yayasan Akalbudi.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan 18 November hingga 22 Nov, 2 Disember hingga 6 Disember dan 9 Disember 13 untuk perbicaraan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel