Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tahan tujuh lelaki, rampas dadah bernilai RM510,820 di P.Pinang


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





GEORGE TOWN, 23 Mei (Bernama) -- Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah selepas menahan tujuh lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM510,820 dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Timur Laut, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk T Narenasagaran berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan dan intipan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Timur Laut sejak dua minggu lepas.

"Dalam serbuan pertama pukul 8.30 pagi pada Sabtu, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun dalam sebuah kereta di kawasan Jelutong dan merampas 4,139 gram syabu dalam bungkusan plastik teh Cina bernilai RM207,000 yang dipercayai untuk dihantar kepada pelanggannya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan, lelaki yang tidak bekerja dan merupakan anggota sindiket pengedaran dadah itu menggunakan taktik membungkus syabu dalam bungkusan plastik teh cina bagi mengaburi mata pihak polis serta menjalankan kegiatan pengedaran dadah pada waktu pagi supaya tidak dikesan polis.

Namun begitu, beliau berkata tindakan lelaki itu berjaya dihidu polis dan susulan penahanan suspek polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda CRV milik lelaki itu dan siasatan mendapati lelaki itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tiga bulan lepas serta untuk pasaran di sekitar negeri ini.

Narenasagaran berkata, dalam serbuan kedua bermula pukul 1.00 petang Ahad hingga 2.30 pagi Selasa, polis menahan enam lelaki berusia 23 hingga 34 tahun di empat lokasi berbeza di sekitar Tanjung Tokong dan Jelutong dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM303,820?.

Katanya, polis mengekori seorang daripada enam lelaki itu yang menaiki sebuah kereta sebelum menahannya di Tanjung Tokong dan membawa kepada penahanan lima lagi anggota sindiket pengedaran dadah termasuk dalang utama berusia 33 tahun itu.

"Antara dadah yang dirampas daripada mereka ialah syabu 1,046g, pil eramin 5 (8,400 biji),  pil estasi (444 biji) da 50.47g ketamin. Siasatan mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah daripada sindiket lain sebelum membungkusnya semula untuk pasaran di beberapa buah negeri kawasan utara," katanya.

Susulan penahanan enam lelaki termasuk dua yang berniaga secara kecilan manakala tiga positif dadah itu polis menyita wang tunai sebanyak RM16,000, barangan kemas (RM9,655), duit dalam bank (RM7,250) serta empat buah kereta antaranya Honda Civic, Proton Satria, Perodua Alza dan motosikal jenis Yamaha 135C yang kesemuanya bernilai RM104,300.

Sindiket itu telah beroperasi sejak dua bulan lepas dan mereka menjalankan kegiatan itu secara berpindah-randah dari satu kawasan ke kawasan lain bagi mengelak dikesan polis, katanya.

"Berdasarkan siasatan dua kes itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, semua mereka kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel