Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lepasan SMPC berpeluang terima Sijil Kemahiran malaysia


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Pelajar aliran teknikal dan vokasional di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) kini berpeluang mengikuti program latihan di 32 Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) dan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata kementerian juga bakal menawarkan Kursus Sijil Pengajar Vokasional (VTO) kepada pengajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dari sekolah yang memenuhi syarat dan terma ditetapkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Kementerian boleh membenarkan kemasukan pelajar dari sekolah-sekolah di bawah Dong Zong mengikuti program latihan di ILJTM yang merangkumi 23 Institut Latihan Perindustrian (ILP), lapan Pusat Latihan Tinggi (ADTEC) dan sebuah Institut Teknikal Jepun-Malaysia melalui Ujian Kecenderungan Kemahiran.

“Kementerian juga boleh menganugerahkan SKM Tahap 3 dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 kepada pengajar TVET secara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) mengikut syarat ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai perkara itu antara Kementerian Sumber Manusia dan Dong Zong di Kajang dekat sini hari ini.

Beliau berkata kementerian juga akan mempertimbangkan permohonan pinjaman atau biasiswa kepada pelajar yang layak serta mematuhi syarat dan terma untuk melanjutkan pengajian dalam program TVET, VTO dan lain-lain.

Katanya langkah untuk membuka peluang kepada lepasan SMPC adalah penting bagi mengisi kelompongan bangsa bukan Melayu yang jumlahnya terlalu rendah di institusi TVET, selain memenuhi keperluan pasaran pekerjaan di bidang tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Dong Zong Tan Tai Kim berkata pendidikan TVET bermula pada 1987 di SMPC dan kini terdapat 19 SMPC yang menawarkan bidang tersebut dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 2,046 orang.

“… akan tetapi masalah pengiktirafan sijil vokasional telah memberi kekangan kepada pelajar yang menyertai program ini maka dengan termeterainya MoU ini ia memberi harapan kepada pelajar untuk meneruskan impian mereka,” katanya.

Selain dapat meneruskan pengajian di ILJTM, MoU itu juga untuk membantu Dong Zong dan SMPC dalam usaha permohonan menjadi Pusat Bertauliah yang berdaftar dengan JPK.

Dalam pada itu, Kula Segaran berkata semua ILP bakal dibuka sehingga 11 malam bagi membolehkan orang ramai menghadiri kelas dan melanjutkan pengajian dalam bidang TVET selepas waktu bekerja.

Beliau berkata cadangan itu kini di peringkat kajian yang turut berkemungkinan bakal menyaksikan ILP beroperasi pada hari minggu dan cuti am.

“Waktu operasi yang panjang amat penting bagi menarik minat dan memberi peluang kepada mereka yang bekerja, sekali gus mengisi kekurangan pekerja berkemahiran dalam bidang teknikal.

“Sudah ada beberapa ILP ditutup lambat, namun kita mahu perluaskan kepada semua ILP agar orang ramai dalam apa jua bidang sekalipun mempunyai peluang menambah kemahiran yang amat diperlukan dalam pasaran kini,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua langkah itu nanti dijangka dapat meningkatkan peratusan golongan pekerja dalam bidang kemahiran teknikal dalam negara yang kini berada pada paras 28 peratus kepada sasaran 35 peratus tahun depan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel