Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bangkang secara demokrasi, jangan sampai angkat senjata - Mohamad


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





SUNGAI PETANI, 23 Mei (Bernama) -- Rakyat terutama golongan muda diingatkan supaya membangkang secara demokrasi dan tidak sesekali mengangkat senjata jika tidak berpuas hati dengan mana-mana pihak terutamanya kerajaan.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata banyak negara Islam musnah akibat perang saudara yang berpunca daripada tindakan keterlaluan yang akhirnya menyebabkan seluruh rakyat menderita.

"Kalau tak setuju dengan mana-mana pihak termasuk pemerintah, tak apa, sebab itu kita ada pembangkang, buatlah tunjuk perasaan, hantar memorandum tapi jangan sesekali angkat senjata dan buat alat-alat letupan.

"Terlibatlah (membangkang) dalam cara demokrasi, kalau mula angkat senjata, lihatlah kehancuran seperti di Iraq, Syria, Somalia, Afghanistan dan kehancuran di Libya, dulu eksport minyak sekarang eksport pelarian," katanya di sini, hari ini.

Beliau berucap pada majlis Perjumpaan dan Berbuka Puasa Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Utara di Kem Lapangan Terbang di sini, hari ini.

Mohamad berkata semua pihak perlu terus menjaga keamanan dan ketenteraman negara serta menerima mana-mana parti yang menang pada pilihan raya umum sebagai pemerintah.

Katanya rakyat bebas untuk bercakap atau memberi pandangan dan sebagai menteri, beliau akan mendengar serta mengambil iktibar terhadap setiap teguran dengan penuh teliti.

Sementara itu, Mohamad berkata pihaknya akan terus berusaha untuk mengangkat martabat warga ATM kerana pasukan keselamatan merupakan kebanggaan negara.

"Bagi veteran ATM, kerajaan sentiasa kenang jasa veteran yang telah berkhidmat kepada negara dan pelbagai bantuan demi kebajikan mereka akan terus disalurkan," katanya.

Pada majlis hari ini, Mohamad menyampaikan cek berjumlah RM39,500 kepada lapan persatuan veteran ATM bagi zon Utara serta menyerahkan sumbangan wang tunai kepada 31 anak-anak yatim bekas perajurit.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel