CuRUm6PHIBw Uzbekistan berminat jalin kerjasama media dengan Bernama - Duta
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Uzbekistan berminat jalin kerjasama media dengan Bernama - Duta


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Uzbekistan berminat untuk mewujudkan kerjasama lebih meluas dalam sektor media menerusi kolaborasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), kata duta negara itu ke Malaysia, Rashvan Usmanov.

Usmanov, yang bercakap kepada wartawan BERNAMA selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif agensi berita itu Nurini Kassim di ibu pejabatnya di sini hari ini, berkata kerjasama itu  - yang membabitkan pertukaran berita, kepakaran dan latihan wartawan dalam bidang akhbar dan maklumat - akan terus mempertingkat hubungan rakyat dengan rakyat Malaysia-Uzbekistan.

“Perkara ini amat penting kerana khalayak di kedua-dua negara perlu tahu dengan lebih mendalam tentang satu sama lain. Meskipun kita memiliki banyak persamaan, ia belum diketahui umum di kedua-dua negara.

“Memandangkan jarak antara kedua-dua negara adalah jauh dari segi geografi dan banyak perkara penting yang sedang berlaku di rantau ini dari segi kisah politik, arena antarabangsa, pelancongan serta budaya, kerjasama ini akan membantu dan menggalakkan rakyat Malaysia dan Uzbekistan memahami antara satu sama lain dengan lebih baik,” katanya.

Usmanov berkata peringkat awal kerjasama akan membabitkan tiga saluran media utama di Uzbekistan iaitu Agensi Berita Nasional Uzbekistan (UzA), National Television and Radio Company of Uzbekistan (NTRC) serta Agensi Maklumat dan Komunikasi Massa di bawah Pentadbiran Presiden yang baharu dibentuk.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Ahmad Fuad Yahya.

Hubungan diplomatik Uzbekistan dengan Malaysia bermula pada 1992, setahun selepas republik itu mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Kesatuan Soviet dan menyertai kumpulan bekas republik Soviet yang dikenali sebagai Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS).

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel