Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Maszlee galak pemberian zakat dalam bentuk buku


Tarikh kemaskini: 23/05/2019





PUTRAJAYA, 23 Mei (Bernama) -- Agensi-agensi zakat perlu melangkah ke hadapan dengan tidak hanya memberi bantuan dari segi kewangan dan makanan, tetapi juga membantu meningkat taraf pendidikan anak-anak asnaf melalui pengagihan buku-buku ilmiah, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. 

Melancarkan program Zakat Semarak Ilmu di sini hari ini, Maszlee berkata bantuan dalam bentuk buku-buku, secara tidak langsung akan membantu golongan tersebut membina cita-cita untuk keluar dari kelompok kemiskinan.

"Mereka melabur untuk pendidikan, sekali gus melabur untuk masa hadapan negara yang lebih cerah," katanya ketika berucap melancarkan program itu.

Program Zakat Semarak Ilmu digerakkan bersama oleh Kementerian Pendidikan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pusat Pungutan Zakat dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia akan mengagihkan sumbangan daripada zakat dalam bentuk buku.

"Usaha sebegini juga wajar diuar-uarkan, agar ia menjadi satu bentuk galakan kepada pembayar zakat untuk sekurang-kurangnya mengetahui ke mana hasil kutipan zakat disalurkan, bukan sahaja dalam bentuk makanan dan wang malah turut melibatkan pemberian buku untuk manfaat ilmu yang berpanjangan," katanya.

Maszlee berkata sumbangan yang sama juga patut diberikan kepada golongan bukan Islam dalam kalangan kumpulan B40.

"Golongan B40 ini melibatkan semua tidak mengira bangsa atau agama, dan roh zakat itu adalah membantu hatta kepada bukan Islam sekalipun," katanya.

Pada program hari ini, seramai lebih 4,600 pelajar asnaf dari sekolah-sekolah di Putrajaya dan Kuala Lumpur bakal mendapat manfaat dengan pengagihan buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia bernilai RM700,000.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel