Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ahli perniagaan, dua rakan dituduh palsukan dokumen jual beli


Tarikh kemaskini: 24/05/2019





BUTTERWORTH, 24 Mei (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan dua rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah sini atas pertuduhan pemalsuan dokumen jual beli rumah dua tahun lepas.

Pengarah Urusan syarikat hartanah, Datuk Khor Siang Gin, 49, Ketua Bahagian Pemasaran dan Jualan Thein Ling Yen, 41, dan Pengarah Eksekutif Tan Siew Feng, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka di Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Pulau Pinang pada 8 Mei 2017, telah cuba menipu dan memperdayakan bahagian itu dengan cara mengemukakan dokumen jual beli palsu bagi tujuan mendapatkan kuota bumiputera sebanyak 30 peratus yang dianggar bernilai RM1.64 juta bagi projek Alila 2.

Dengan ini, ketiga-tiga mereka telah dituduh dengan curangnya cuba mendorong Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memberikan perlepasan kuota itu yang mana bahagian itu tidak akan memberikan perlepasan kuota itu sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya S.Selvaranjini, manakala tiga tertuduh itu diwakili peguam Oh Choong Ghee dan M. Puravalen.

Nizam membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Ketiga-tiga tertuduh membayar wang jaminan itu hari ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel