aue79dDc_o0 Peniaga pasar malam didakwa bakar kereta Mufti Perlis
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peniaga pasar malam didakwa bakar kereta Mufti Perlis


Tarikh kemaskini: 24/05/2019





KANGAR, 24 Mei (Bernama) -- Seorang peniaga pasar malam hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan membakar kereta rasmi milik kerajaan negeri yang digunakan oleh Mufti Negeri Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tertuduh, Mohd Azimar Abdul Razak Azimar, 36, dari Kampung Jelempok, Arau dituduh melakukan kesalahan itu dengan niat hendak merosakkan kenderaan jenis Honda Accord itu di kediaman mufti itu di Jalan Pesiaran Wawasan, Kangar bersama beberapa lagi rakannya pada kira-kira 5 pagi, 22 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshuhada Mohd Yatim memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kerana kes itu melibatkan kepentingan awam selain kenderaan terbabit milik kerajaan negeri.

Beliau juga berkata dibimbangi tertuduh akan mengulangi perbuatannya selain bimbang keselamatan tertuduh kerana kes itu telah viral.

Peniaga itu yang diwakili peguam Najdah Romli dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), bagaimanapun memohon anak guamnya dilepaskan dengan jaminan kerana tertuduh mempunyai dua anak masing-masing berumur sembilan dan 11 tahun serta menanggung seorang kakak berumur 46 tahun yang mengalami strok.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membenarkan rayuan tertuduh dan membenarkan dia diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh juga perlu melapor diri kepada pegawai penyiasat kes pada setiap 1 hari bulan dan diberi amaran tidak mendekati mangsa, keluarga dan anggota keluarga terdekat mangsa. 

Beliau kemudian menetapkan kes itu disebut semula pada 2 Julai depan.

Sementara itu polis masih memburu seorang lagi rakan tertuduh dikenali sebagai Mei Tomoi yang di percayai bersubahat dalam perbuatan itu manakala empat lagi rakannya masih dalam tahanan reman.

-- BERNAMA

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel