Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Gawai dan Kaamatan sehingga 7 Jun


Tarikh kemaskini: 25/05/2019





SIBU, 25 Mei (Bernama) – Tempoh perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Gawai Dayak di Sarawak dan Pesta Kaamatan di Sabah dilanjutkan kepada 14 hari tahun ini berbanding hanya tujuh hari sebelum ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen berkata, tempoh pelaksanaan itu bermula hari ini dan akan tamat pada 7 Jun ini.

Turut dilanjutkan ialah SHMMP sempena Hari Raya Aidilfitri yang telah bermula 21 Mei lalu dan tamat pada 19 Jun.

Langkah tersebut adalah untuk membolehkan pengguna yang menyambut perayaan tersebut membeli barangan keperluan pada harga munasabah.

“Peniaga bebas menjual 14 jenis barangan harga terkawal bagi perayaan Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan serta 18 jenis barangan untuk Aidilfitri di bawah paras harga maksimum yang telah ditetapkan,”katanya  pada sidang media selepas mengadakan lawatan sempena pelaksanaan SHMMP Hari Gawai 2019 di Pasar Sentral Sibu, di sini, hari ini.

Menurutnya, para peniaga akan diambil tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Mereka yang menjual barangan harga terkawal melebih harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.

Bagi kesalahan dilakukan sesebuah syarikat, denda adalah sehingga RM500,000 atau kompaun RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau di kompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau boleh dikompaun sehingga RM10,000.

Beliau memberitahu, penetapan harga maksimum tersebut dibuat selepas perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan lain-lain pemegang taruh.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mendapati peniaga tidak mematuhi undang-undang berkenaan skim itu boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui, portal e-aduan@kpdnhep.gov.my; call centre 1800886800; e-aduan@kpdnhep.gov.my (emel); Ez ADU (aplikasi telefon pintar); Enforcement Command Centre (ECC) – 03-88826245/6088.

Maklumat juga boleh disalurkan ke talian 03-80008000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC); WhatsApp ke 0192794317 dan melapor atau hadir di mana-mana 73 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel