Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan hingga 10 Jun


Tarikh kemaskini: 26/05/2019





KOTA KINABALU, 26 Mei (Bernama) -- Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir hari ini, dilanjutkan sehingga 10 Jun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah dalam kenyataan di sini berkata perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik dan pelancong asing melawat pulau peranginan, dan dalam masa sama, untuk menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di kawasan daratan ESSZone,” katanya.

Omar berkata perintah berkurung akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha calet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Peniaga ingkar arahan penggunaan produk biodegradasi dikompaun

 
     

PRK Kimanis: Pimpinan PH perlu fikir langkah menangi semula hati rakyat - Anwar

 
     

BN kekalkan kerusi Kimanis

 
     

Dr Mahathir mahu Bersatu Kedah kukuhkan parti - Mukhriz

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel