Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wang zakat untuk baju raya adik


Tarikh kemaskini: 26/05/2019





KUANTAN, 26 Mei (Bernama) -- Pengorbanan seorang kakak apabila mendahulukan kelengkapan raya tiga orang adiknya menggunakan wang zakat yang diterima supaya mereka tidak berasa kekurangan pada Aidilfitri pertama tanpa ayah pada tahun ini. 

Nurul Syamira Muhd Anuar, 21, berkata ibu tirinya mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga dengan bekerja sebagai pekerja am di sebuah hospital swasta di sini selepas bapa kandungnya Mohd Anuar Ariffin, 49,  meninggal dunia pada Mac lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru. 

Manakala abang sulungnya Iwan Andika, 26, tidak bekerja kerana menghidap penyakit buah pinggang yang memerlukan dia menjalani rawatan dialisis setiap dua hari, selain mempunyai tiga orang adik berusia antara dua hingga 15 tahun. 

"Wang sebanyak RM300 memang sudah diniatkan untuk mengembirakan adik-adik.. mereka masih kecil, jadi mereka yang lebih teruja untuk menyambut hari raya. Jika masih ada lebihan wang selepas membeli baju raya, saya akan serahkan pada ibu untuk perbelanjaan rumah," katanya. 

Nurul Syamira yang merupakan penuntut tahun dua jurusan Farmaseutikal Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, merupakan seorang daripada 50 penerima sumbangan zakat Etiqa di UMP kampus Gambang di sini, hari ini. 

Turut hadir pada Program Indahnya Ramadhan Bersama Etiqa itu Pengarah Etiqa Family Takaful Berhad Datuk Majid Mohamad, Naib Canselor UMP Professor Dr Wan Azhar Wan Yusoff, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Datuk Seri Ibrahim Ahmad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP Professor Datuk Yusserie Zainuddin.

Wan Azhar berkata 30 daripada penerima zakat itu merupakan penuntut UMP manakala bakinya adalah 20 keluarga asnaf sekitar daerah ini yang turut menerima sumbangan barang keperluan harian. 

"UMP menerusi program MyGift akan terus menyumbang kepada pelajar yang memerlukan dan sentiasa mengalu-alukan pihak swasta yang ingin bersama kita supaya lebih ramai yang dapat dibantu," katanya. 

Wan Azhar berkata Etiqa merupakan antara syarikat swasta yang konsisten menyalurkan sumbangan melalui UMP sejak 2011 yang setakat 2018, telah meyumbang RM530,000 dengan tambahan RM130,000 pada tahun ini. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel