Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan perlu tumpu suara rakyat yang mengharapkan janji ditunaikan - Tun Daim


Tarikh kemaskini: 26/05/2019





MACHANG, 26 Mei (Bernama) -- Selepas setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, sudah sampai masanya bagi kerajaan menumpukan dengan lebih serius mendengar suara rakyat yang kini terus bergelut dengan kos sara hidup tinggi.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata tiga faktor yang perlu diberi penekanan oleh kerajaan sekarang iaitu pembinaan rumah mampu milik, harga barang keperluan yang murah dan penurunan kadar tol.

"Sebelum ini kerajaan memfokuskan beberapa isu penting seperti Lembaga Tabung Haji, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan sebagainya dan bagi tahun kedua pemerintahan biarlah isu berkaitan rakyat diutamakan pula.

"Saya juga mewakili rakyat yang mahukan perkara-perkara ini diambil kira bagi mengurangkan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Koperasi Keluarga Haji Zabir Kelantan Berhad (KOZA) di sini, hari ini.

Daim yang melakukan lawatan kerja seharinya ke Kelantan, sebelah pagi tadi turut meninjau Pelabuhan To Bali, Pasir Puteh bagi melihat keperluan bekalan ikan untuk negeri ini dan Terengganu.

Mengulas lanjut, Daim berkata pembinaan rumah mampu milik itu perlu dilaksanakan yang mesti mementingkan kualiti mengikut ciri-ciri terkini.

"Kalau awak (pemberita) tanya saya, saya macam awaklah yang mahukan selain rumah mampu milik, kita juga mahukan harga barang mesti rendah temasuk kadar tol mesti diturunkan pada tahun kedua ini," katanya.

Pembinaan rumah mampu milik, harga barangan keperluan yang murah dan juga penurunan tol merupakan manifesto PH ketika pilihan raya umum lalu dan ia terus menjadi isu yang masih membelenggu rakyat.

Ditanya bekalan ikan ketika lawatan, beliau mengharapkan bekalan ikan mencukupi selain harga yang rendah dapat ditawarkan kepada pengguna.

Beliau juga mengharapkan agar pasaraya turut menawarkan harga rendah terutama ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Sementara itu mengenai Piagam Permuafakatan Perpaduan antara PAS dan UMNO yang dijangka dimeterai selepas Aidilfitri nanti, Daim menganggap ia suatu perkara biasa dalam politik.

"Ini perkara biasa bukan luar biasa dan terpulanglah kepada mereka sama ada berjaya atau tidak dan ia bergantung kepada keadaan," katanya.

Daim juga berkata beliau bukan seorang ahli nujum untuk menentukan piagam berkenaan berjaya atau tidak ataupun memberi kesan kepada kerajaan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel