Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk luar bandar mahu keupayaan komunikasi ditingkatkan


Tarikh kemaskini: 26/05/2019





KUCHING, 26 Mei -- Penduduk di Kampung Benuk, penempatan rumah panjang 780 pintu perkampungan Bidayuh di Jalan Puncak Borneo dekat sini, teruja dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada 1 Jun, hari pertama sambutan Gawai Dayak.

Seperti kebanyakan masyarakat luar bandar yang lain, penduduk kampung mahu memiliki kemudahan telekomunikasi yang lebih baik untuk berhubung dengan dunia luar dan berharap menteri persekutuan itu dapat melihat sendiri situasi sebenar di lapangan semasa lawatan beliau.

Kampung Benuk, adalah penempatan rumah panjang Bidayuh yang pertama di Sarawak, antara kampung terbesar di kawasan Penrissen dan Padawan, antara empat perkampungan Bidayuh yang akan dilawati Gobind sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat di Bahagian Kuching dan Serian dari 31 Mei hingga 1 Jun. 

Ketua kampung Miso Nangi memberitahu Bernama persediaan lawatan Gobind atau ‘ngabang Gawai’ berjalan mengikut jadual, termasuk mengindahkan baruk, rumah Bidayuh yang unik berbentuk bulatan dan panggah, binaan tradisional iaitu ketua keluarga mengadakan mesyuarat atau ritual Gawai.

Menurut beliau, tengkorak manusia dianggap sebagai trofi daripada peperangan puak yang lalu masih disimpan di panggah manakala Gobind dijangka mengadakan sidang media di baruk, tempat pertemuan sesi bertemu rakyat.

Pada hari pertama perayaan Gawai Dayak, merupakan pesta tahunan yang disambut pelbagai masyarakat Dayak di Sarawak sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian padi yang melimpah-ruah, Gobind juga akan melawat Kampung Mujat, Mongos dan Kampung Paon Rimo di Serian.

Sementara itu penasihat program di Kampung Mujat, Edward Andrew Luwak berkata perkampungan itu yang dihuni kira-kira 300 keluarga, adalah kebanggaan masyarakat Bidayuh kerana mengekalkan rumah panjang Bidayuh tradisional.

Selain mempunyai banyak ciri menarik untuk ditawarkan kepada pelancong, penyelidik, ahli akademik dan pelajar, beliau berkata ramai orang kenamaan dari seluruh dunia menjejakkan kaki di Kampung Mujat, termasuk bekas Putera Mahkota Thailand.   

Pada malam sambutan Gawai Dayak yang jatuh pada 31 Mei, Gobind akan menyertai penduduk kampung Triboh, Jalan Gedong di Serian, menyaksikan persembahan tarian kebudayaan dan merasai makanan tradisional Dayak yang sinonim dengan sambutan itu.   

Menteri  Komunikasi dan Multimedia itu juga akan turut menyertai upacara ‘Nigirup Ai Pengayu’ yang bermaksud minum tuak untuk kesihatan dan umur yang panjang yang disediakan pada 12 tengah malam.  

-- BERNAMA                                                                                                                                                                                                                                                               

 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel