Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PSR perlu dilihat dengan lebih objektif - Dr Afif


Tarikh kemaskini: 26/05/2019





GEORGE TOWN, 26 Mei (Bernama) -- Projek penambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR), perlu dilihat dengan lebih objektif dan bukan terus dicadangkan untuk batalkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengikut proses undang-undang, dan meneliti semua laporan yang diterima daripada pihak pakar dan jabatan-jabatan yang berkenaan, untuk mencari formula terbaik bagi mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar serta nelayan.

Menurutnya, pihak konsortium telah menjalankan banyak siri perbincangan dan pertemuan dengan nelayan bagi mendapatkan pandangan mereka, sejak projek PSR ini mula dibangkitkan.

"Tidak ada manfaat untuk PSR dibatalkan, lebih baik bincang bagaimana projek ini dapat dilaksanakan, dengan memberi impak minima kepada alam sekitar. Saya melihat PSR mampu mewujudkan peluang ekonomi baharu di sini.

"Saya telah bertemu dan berbincang dengan anak-anak muda di sini, mereka mahu bekerja di Pulau Pinang, namun peluang pekerjaan di bandar-bandar lain lebih menarik berbanding yang ditawarkan di sini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Ops Raya oleh Persatuan Komuniti Pasukan Tindakan Cemas George Town (CERT George Town), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan 6,080 nelayan di utara Perak akan terjejas ekoran pelaksanaan projek berkenaan.

Pada 21 Mei lepas, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata pihaknya sedang menunggu laporan daripada kerajaan negeri berhubung dakwaan itu.

Dr Afif berkata kerajaan negeri melalui Konsortium SRS, telah mengadakan pertemuan dengan Muhammad Faiz baru-baru ini, untuk menerangkan proses dan projek-projek yang akan dijalankan dalam menangani isu-isu kebajikan dan perkara-perkara berbangkit terhadap nelayan terlibat.

Projek PSR yang dirancang Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, dijangka menelan belanja RM49 bilion untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di negeri ini.

Projek PSR itu melibatkan projek pembangunan 1,800 hektar tiga pulau buatan manusia yang dijangka bersaing dengan Marina Bay di Singapura.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel