Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kanak-kanak lelaki dua tahun meninggal dunia dipercayai didera


Tarikh kemaskini: 26/05/2019





ALOR SETAR, 26 Mei (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki dua tahun meninggal dunia, dipercayai akibat didera oleh bapa tirinya di Jalan Yan, Guar Chempedak, semalam.

Ekoran kejadian itu polis telah menahan suspek berumur 28 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di atas kematian kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar berkata kanak-kanak itu telah dibawa sendiri oleh suspek untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, namun doktor yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

“Pada pukul 7.30 malam semalam, suspek memaklumkan telah menemui anak tirinya dalam keadaan terbaring di lantai bahagian dapur ,dalam keadaan tidak sedarkan diri. Suspek telah segera membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, doktor yang menjalankan bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan daya tumpul di bahagian abdomen, berikutan terdapat koyakan pada hati mangsa, pendarahan pada organ dan kesan lebam pada usus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahnaz berkata doktor turut memaklumkan bahawa mangsa juga mungkin dicubit dan ditumbuk di bahagian perut dan belakang badan berdasarkan kesan lebam dan kesan corak kecederaan pada mangsa adalah daripada perbuatan yang disengajakan.

“Kecederaan dalaman yang dialami mangsa juga adalah baru dan tidak sampai beberapa jam sebelum mangsa meninggal dunia,” katanya.

Ibu mangsa yang berumur 22 tahun juga turut ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel