Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wanita, anak tiri cedera disamun


Tarikh kemaskini: 26/05/2019





BUKIT MERTAJAM, 26 Mei (Bernama) -- Seorang wanita dan anak tirinya cedera akibat terjatuh ke dalam longkang selepas disamun seorang lelaki menaiki motosikal di Tingkat Binjai 6, Taman Sri Rambai di Bukit Tengah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, wanita warga Indonesia berusia 40-an dan anak tiri perempuannya berumur enam tahun menaiki sebuah motosikal dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di kawasan taman berkenaan.

"Menurut wanita itu, beliau dan anak tirinya yang merupakan warga tempatan telah dikejar seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125z warna biru sebelum suspek menarik beg yang digalas mangsa.

"Suspek menendang motosikal mangsa sebelum melarikan diri dan akibat kejadian itu, wanita dan kanak-kanak perempuan berkenaan terjatuh ke dalam longkang di kiri jalan," katanya di sini malam ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam oleh orang ramai yang berada di situ kerana wanita itu mengalami kecederaan di bahagian muka serta mengalami trauma manakala anak tirinya cedera di bahagian kepala.

Nik Ros Azhan berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata mayat lelaki yang ditemukan terapung dalam Sungai Perai pada Khamis dipercayai dibunuh berdasarkan laporan bedah siasat yang dibuat di Hospital Seberang Jaya semalam.

Katanya lelaki dengan cacah tatu lambang playboy di lengan kanannya ditikam dan dikelar di beberapa bahagian badan serta mangsa telah mati lebih tiga hari ketika ditemui.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan selain mengenal pasti identiti mangsa, polis juga giat mengesan suspek terlibat dalam kejadian berkenaan. Kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel