Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

60 Orang Asli dalami agama Islam di Madrasah Pengajian Islam


Tarikh kemaskini: 27/05/2019





KOTA BHARU, 27 Mei (Bernama) -- Seramai 60 Orang Asli pelbagai suku kaum mengambil peluang mendalami agama Islam di Madrasah Pengajian Islam (MPI), di Kok Lanas di sini. 

Pengetuanya Suhaidah Suhaimi berkata MPI yang juga Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) menyediakan asas agama kepada anak Orang Asli, mualaf serta golongan yang tercicir daripada arus pendidikan bermula usia 12 tahun. 

“Matlamat kita agar satu masa nanti, mereka (Orang Asli) dapat menjadi penggerak masyarakat untuk berdakwah di kawasan masing-masing untuk menyebarkan ilmu agama Islam yang mereka perolehi di sini,” katanya ketika ditemui di MPI hari ini. 

Katanya mereka terdiri daripada suku kaum Temiar dari Gua Musang, Semai (Pahang), Temuan (Selangor) dan Semak Beri (Terengganu). 

Suhaidah berkata selain diajar asas agama Islam, mereka turut diajar pendidikan akademik termasuk mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Melayu yang dibantu seramai tujuh orang sukarelawan sebagai tenaga pengajar. 

“Kebiasaanya, mereka (Orang Asli) mengambil masa enam bulan bagi mengenal bacaan Iqra’ dan paling cepat dalam masa dua tahun sudah ada yang mampu untuk khatam al-Quran,” katanya. 

Suhaidah yang turut dibantu tujuh kakitangan lain berkata pengambilan pelajar bagi memasuki madrasah dibuat pada 7 Jan setiap tahun, dan tempoh pembelajaran maksimum hanya tujuh tahun sahaja.

Madrasah yang ditubuhkan sejak tahun 2003 itu kini mempunyai enam bilik darjah bagi menampung bilangan pelajar yang sudah mencecah 96 pelajar termasuk golongan tercicir dan mualaf. 

Sementara itu, seorang pemuda Orang Asli Mangruri Alang, 26, dari Gua Musang berkata beliau begitu gembira dan teruja dapat mendalami agama Islam dengan bimbingan ustaz dan ustazah di madrasah berkenaan. 

Katanya walaupun mengalami kesukaran untuk mempelajari ilmu agama pada awal kemasukan pada 2016, ia tidak mematahkan semangatnya.

“Saya mengambil masa satu tahun untuk membolehkan saya mampu membaca dan mengenal ayat suci al-Quran dengan baik, katanya yang kini sudah memasuki juzuk yang ke-10.

Wak Siti Azami, 22, dari suku kaum Semai berkata ternyata keputusan yang diambil tiga tahun lalu untuk memeluk Islam adalah langkah terbaik, sekali gus memberi sinar kehidupan kepadanya sebagai muslim yang baharu. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel