Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sajian rasa Borneo di SugarBun


Tarikh kemaskini: 29/05/2019




KUCHING,  29 Mei (Bernama) -- Sajian Borneo, itulah menu yang ditawarkan di SugarBun, syarikat perintis rangkaian makanan segera di Sarawak yang memulakan perniagaan mereka empat puluh tahun lepas.

Kedai pertama SugarBun, sebuah kedai makanan ringan di bekas Teater Kenyalang di sini, popular dalam kalangan penduduk tempatan, dengan menu utamanya aiskrim dan bertih jagung, manakala kedai terbaharu Borneo Asian Food memperkenalkan menu sajian Asia, termasuk makanan tempatan seperti Laksa Sarawak dan ikan Kerapu Sabah.

Pengurus Pemasaran SB Supplies & Logistics Sdn Bhd untuk SugarBun & Pezzo East Malaysia Helong Ajang berkata, SugarBun pada masa ini menguruskan restoran Borneo Asian Food di Kuching, Miri, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Johor dan akan membuka sebuah lagi restoran di Bintulu, Oktober ini.

“Berbeza dengan restoran SugarBun QSR (restoran makanan segera) kami, Borneo Asian Food oleh Sugar Bun menggunakan bahan tempatan asli seperti rumpai laut Sabah dan cili padi dari Lahad Datu.

“Dengan kepakaran tempatan dalam teknologi makanan, kami berjaya hasilkan makanan eksklusif di peringkat komersial untuk orang ramai,” katanya kepada Bernama di sini.

Mengenai pengembangan luar negara di masa hadapan, beliau berkata, SugarBun yang telah dibuka di Brunei dan Bangladesh, akan mengembangkan sayapnya ke Jakarta, Indonesia, Julai hadapan.

Sehingga kini SugarBun mempunyai francais di 94 cawangan di seluruh Sarawak dan Sabah serta di Perak, Johor dan Kuala Lumpur dengan kebanyakannya restoran QSRnya yang menawarkan burger gaya Amerika, susu kocak, slushies dan juga burger ayam.

Menjadi syarikat dalam senarai awam pada tahun 1997, nama SugarBun menjadi jenama di bawah Borneo Oil Berhad dengan ibu pejabatnya di Wisma SugarBun di sini, dan diuruskan oleh SB Supplies & Logistics Sdn Bhd.

Helong berkata cabaran terbesar SugarBun adalah berhadapan dengan perubahan dan mereka berusaha mengikuti trend dengan melibatkan diri dalam program golongan muda, trend dan media, termasuk projek CSR, Minggu Borneo, dan Festival Gawai & Kaamatan di Kuala Lumpur 29-30 Jun.

Beliau berkata acara dua hari ini akan menjadi platform bagi usahawan muda, artis, kraftangan, seni persembahan, budaya dan warisan dari Borneo untuk mempromosikan produk mereka di bandar-bandar di luar Sarawak dan Sabah melalui rangkaian SugarBun.

Mengenai resipi rahsia SugarBun untuk kejayaannya setakat ini, beliau berkata SugarBun juga berinovatif dan fleksibel ketika membuat produk dan perkhidmatan untuk keperluan pasaran yang berbeza, selain daripada aset terbesarnya, iaitu lebih daripada 1,000 orang yang bekerja secara langsung dan tidak langsung di bawah syarikat dan melalui kedai francaisnya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel