Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lepasan cemerlang SPM digalak mohon IPG


Tarikh kemaskini: 29/05/2019





PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang untuk memohon Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan ( PPISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata sebanyak 6,000 tempat ditawarkan di bawah program itu namun kebanyakan pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional sedangkan negara juga memerlukan guru-guru yang cemerlang.

"Semuanya ingat nak masuk matrikulasi, akhirnya IPG mengalami kemerosotan. Jadi kita menggalakkan pelajar cemerlang yang berminat memohon menjadi guru" kata pada majlis berbuka puasa KPM bersama media, di sini hari ini.

Selain itu, Maszlee berkata KPM juga menggalakkan permohonan untuk menjadi guru Bahasa Mandarin dan Tamil yang diperlukan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

"Kita menghadapi kurangnya permohonan untuk guru mengajar Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil," katanya.

Dalam pada itu, Maszlee berkata KPM akan memberi tumpuan kepada usaha mendidik masyarakat supaya  melihat kepada kursus yang menjanjikan peluang kerjaya pada masa depan seperti bioteknologi, teknologi nano, analisis data dan robotik.

Mengakui KPM belum berjaya mendidik masyarakat untuk melihat masa depan yang lebih mencabar, beliau berkata pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional seperti perubatan, farmasi, pergigian, guaman dan akauntan. 

"Ramai yang masih terikat dengan kursus tradisional dan bila tak dapat, masing-masing marah walhal banyak kursus yang menjanjikan peluang kerja lebih baik pada masa depan tidak ada orang ambil," katanya.

Katanya, pada tahun lepas terdapat 5,000 tempat di universiti awam (UA) bagi kursus-kursus sains berbeza yang tidak mendapat sambutan.

Maszlee berkata kerajaan tidak mahu wujud ketidak sepadanan antara kursus yang diambil pelajar di institusi pengajian tinggi dengan peluang kerjaya yang ditawarkan pada masa akan datang.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel