Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MAFTA mahu garis panduan trak makanan tetap di semua PBT


Tarikh kemaskini: 30/05/2019





Oleh Soon Li Wei & Nur Ifarna Nasreen Anvardeen

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Kerajaan perlu menetapkan satu garis panduan menyeluruh terhadap pengusaha trak makanan atau food truck bagi memudahkan mereka menjalankan perniagaan secara bergerak, kata Pengerusi Persatuan Food Truck Malaysia (MAFTA) Datuk Mohamad Zaini Md Taha. 

Beliau berkata sehingga kini masih ramai pengusaha trak makanan yang tidak memiliki lesen perniagaan sah kerana keliru terhadap garis panduan yang tidak tetap daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berlainan apabila mereka bergerak ke kawasan tertentu untuk menjalankan perniagaan. 

“Oleh kerana perniagaan mereka adalah secara bergerak, kadangkala mereka keliru apabila peraturan untuk memohon lesen daripada PBT agak berlainan dan ada kalanya mengambil masa yang lama untuk mendapatkan lesen. 

“Sedangkan perniagaan mereka hanya dijalankan untuk tempoh yang singkat...jadi ada dalam kalangan mereka mengabaikan proses itu dan terus membayar sewa tapak kepada penganjur ataupun berniaga secara haram tanpa memohon lesen PBT,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Katanya lebih 80 peratus daripada peniaga trak makanan di seluruh negara belum mendapat lesen PBT menyebabkan mereka sering disaman dan disita.

“Sehingga kini terdapat 820 peniaga trak makanan yang berdaftar sebagai ahli di bawah MAFTA di seluruh negara. 

"Peniaga yang ada tapak tetap daripada PBT, itu memang sudah terjamin, tetapi peniaga trak makanan yang bergerak secara merata inilah sebenarnya perlu diberi pendedahan mengenai garis panduan yang tetap, selain dapat menjamin keselamatan mereka serta berniaga secara sah,” katanya. 

Beliau berkata selain itu, ramai juga peniaga trak makanan turut ditindas kerana terpaksa membayar sewa tapak yang mahal kepada penganjur ataupun pemilik tapak trak makanan. 

“Selaraskan harga sewa tapak itu, kalau untuk acara tertentu kadar sewa lain, tapi untuk jangka masa panjang, biarlah harga itu ditetapkan dan tidak terlampau mahal,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Norhaslinda Nordin berkata pihaknya sentiasa menyediakan program pementoran kepada usahawan trak makanan dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (Insken) dalam perancangan menu, pemasaran dan kanvas model perniagaan. 

Beliau berkata bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan terjamin, pihaknya turut akan memberi pendedahan terhadap pengurusan makanan bagi memastikan mereka memenuhi garis panduan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Bagi permohonan lesen pula, Norhaslinda berkata peniaga trak makanan perlu memohon di bawah kategori 'Penjaja Bergerak' berdasarkan Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016 yang akan diproses dalam tempoh 30 hari bekerja. 

"Antara kriteria yang ditetapkan untuk permohonan lesen bergerak ialah warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas, berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mengambil suntikan tifoid (TY2), kenderaan trak mendapat kelulusan Puspakom  dan mendapatkan insurans liabiliti awam. 

"Selain itu, sebaik sahaja mendapat lesen sah, mereka hanya boleh menjalankan perniagaan trak mereka di lokasi yang ditetapkan di bawah seliaan DBKL dan dengan kebenaran pengurusan tapak itu," katanya.

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel