Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

LZS serah lapan van mobiliti OKU libatkan peruntukan RM1.35 juta


Tarikh kemaskini: 30/05/2019





SHAH ALAM, 30 Mei (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan lapan van Mobiliti Orang Kelainan Upaya (OKU) kepada pusat jagaan warga emas, institut pengajian tinggi (IPT) dan persatuan OKU terpilih melibatkan peruntukan RM1.35 juta.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS Abdul Basith Hamid berkata sumbangan itu bertujuan memudahkan urusan perjalanan golongan warga emas dan pelajar OKU yang memerlukan dengan menggunakan kenderaan berkenaan.

Beliau berkata lapan institusi yang menerima bantuan van OKU berkenaan adalah Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Pusat Jagaan Nur Hasanah, Persatuan Kebajikan Al Fikrah Malaysia, Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia, IIUM Endowment Fund, Persatuan Kebajikan Penyayang Hani dan Pusat Jagaan Siti Nor Aini.

“Sumbangan van ini adalah yang pertama dilakukan yang mana ia merupakan agihan bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah.

“Antara tujuannya adalah bagi memudahkan golongan warga emas yang terlantar di rumah penjagaan mendapatkan rawatan di hospital selain membantu pelajar OKU di IPT berulang-alik ke kuliah,” katanya semasa berucap pada Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Pengerusi LZS, Datuk Dr Aziudin Ahmad dan Anggota Jawatankuasa Kutipan LZS, Datuk Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa.

Dalam pada itu, pada majlis sama 52 syarikat korporat menyerahkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM5.4 juta kepada LZS yang diterima oleh Aziudin dan Abdul Basith.

Antara 52 syarikat berkenaan adalah Maybank Islamic Berhad yang menyerahkan bayaran zakat berjumlah RM873,484.83, Advance Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (RM628,897.71), Kumpulan MTD (RM574 ,000), Kumpulan KPJ Healthcare Berhad (RM499,000), Celcom Axiata Berhad (RM469,810), KUB Gaz Sdn Bhd (RM411,585), Turnpike Synergy Sdn Bhd (RM303,855), Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM278,782.14) dan Koperasi AIM Berhad bernilai RM214,581.

Pada masa sama, tiga syarikat korporat lain yang merupakan pengeluar zakat kepada LZS menyatakan persetujuan menyertai program 'Kasihku Zakat Selangor' melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM134,186.00.

Tiga syarikat berkenaan adalah Park Here Sdn. Bhd yang menyumbangkan semula bayaran zakat perniagaannya berjumlah RM12,300.00, Herbaworks Healthcare Sdn Bhd (RM45,886) dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (RM76,000).

Program Kasihku Zakat Selangor adalah inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat RM50,000 ke atas untuk memohon agihan semula 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat tahun semasa untuk diberikan kepada asnaf fakir, miskin dan fisabilillah yang berdaftar dengan LZS.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel