QU_wzQQqQ8M Sekolah di sebalik tirai besi
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sekolah di sebalik tirai besi


Tarikh kemaskini: 31/05/2019





Oleh Zalina Maizan Ngah

MARANG, 31 Mei (Bernama) -- Walaupun berada di sebalik tirai besi selepas dihukum atas pelbagai kesalahan termasuk kes dadah dan mencuri, keperluan banduan muda untuk mendapatkan pendidikan secara formal tidak pernah diabaikan.

Pengarah Jabatan Penjara Terengganu Penolong Kanan Komisioner Ahmad Saidi Hamzah berkata terdapat 171 pelajar bergelar banduan muda berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun sedang mengikuti pengajian di Sekolah Integriti, Penjara Marang yang mula beroperasi sejak 2008.

“Sekolah ini berbeza...mereka (banduan muda) sepatutnya masih di alam persekolahan, tetapi atas kesilapan sendiri, terpaksa menjalani hukuman. Ada antara mereka ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ia bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan apabila keluar nanti,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Saidi berkata banduan muda tersebut diajar mata pelajaran yang sama sepertimana ditetapkan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, oleh guru terlatih dengan kaedah khas serta mudah difahami.

Katanya, selain menyasarkan banduan muda sekurang-kurangnya memiliki SPM, mereka turut diberi ruang untuk belajar dalam kelas 3M iaitu menulis, membaca dan mengira bagi membendung masalah buta huruf.

“Saya ucapkan syabas kepada cikgu dan guru agama di Sekolah Integriti kerana mereka sanggup masuk (ke sini) setiap hari. Kesanggupan ini tidak ada pada semua orang.

“Mereka korbankan keselesaan untuk diri sendiri dengan bekerja dalam suasana tidak selesa, panas dan berbeza dengan sekolah di luar untuk memastikan banduan muda ini menjadi insan berguna...banduan adalah insan yang betul-betul perlukan pertolongan,” katanya.

Tinjauan penulis di sekolah ini, mendapati banduan muda ini yang memakai uniform serba putih, berselipar dan berambut pendek dengan raut wajah serius, melakukan aktiviti sendiri antaranya membaca al-Quran, belajar, berlatih kawat di bawah terik mentari dan ada juga yang sibuk membersihkan kawasan sekeliling.

Rutin padat itu adalah antara aktiviti harian banduan di situ bagi memastikan masa mereka terisi dari awal pagi hingga lewat petang.

Menurut penyelia sekolah terbabit, Nor Amalina Kasim, terdapat lima kelas di sekolah itu yang memberi penekanan bagi SPM dan 3M untuk pastikan sifar buta huruf.

“Kami menerima pelajar pelbagai latar belakang termasuk yang tidak pernah terima apa-apa pembelajaran,” katanya yang telah mengajar di situ sejak 2014.

Ketika ditanya apakah cabaran yang perlu dilaluinya, Nor Amalina berkata mereka hanya perlu fokus kerana kebanyakan banduan tidak mempunyai asas pembelajaran dan agama yang baik, lantaran itu mereka memulakan pendekatan dengan cara pengisian kerohanian.

Memandangkan majoriti pelajar di situ beragama Islam, mereka akan diketengahkan tentang mandi wajib, solat dan puasa selain adab, dengan dipantau oleh pengawal penjara sepanjang tempoh pembelajaran.

Untuk rekod, tahun lepas lima banduan di sekolah berkenaan berjaya memperoleh sekurang-kurangnya dua A, meskipun pendidikan akhir mereka setakat darjah enam.

“Banduan yang meninggalkan memori indah pada saya ialah ‘Belalang’ (nama panggilan) yang sedang belajar di Politeknik. Dia berjaya keluar daripada pengaruh dadah dan sentiasa menghubungi saya untuk memaklumkan keadaannya.

“Ada juga bekas banduan dari sekolah ini yang telah bekerja dalam industri minyak dan gas, malah mereka akhirnya dapat mengotakan apa yang dijanji untuk membalas jasa ibu bapa mereka setelah keluar dari sini,” katanya yang mengharapkan pihak kerajaan akan sediakan platform untuk bekas banduan bekerja.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel