Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga lelaki ditahan, dadah bernilai RM16.49 juta dirampas


Tarikh kemaskini: 31/05/2019





KAJANG, 31 Mei (Bernama) -- Polis menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa dengan penahanan tiga lelaki warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM16.49 juta di sebuah makmal memproses dadah di Kawasan Perusahaan Bukit Angkat di sini dua hari lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Cheras dan Kajang dari pukul 5.20 petang sehingga 9.45 malam oleh sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman.

“Penahanan tersebut membawa polis ke sebuah makmal memproses dadah dan menjumpai antaranya 84.2 kg serbuk dadah disyaki Erimin 5 yang boleh menghasilkan 421,000 biji pil, 52 kg dadah disyaki ketamin dan 93.25 kg serbuk disyaki bahan kimia untuk memproses dadah.

“Polis turut merampas dua tong cecair disyaki bahan kimia dan pelbagai alatan memproses dadah. Selain itu, dua kereta mewah, wang tunai RM18,200 dan seutas jam tangan bernilai kira-kira RM139,000 turut disita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kawasan Perusahaan Bukit Angkat hari ini.

Katanya ketiga-tiga lelaki berusia antara 28 dan 69 tahun itu kini direman sehingga 3 Jun dan disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kamarul Zaman berkata seorang suspek berusia 69 tahun yang dipercayai ketua, disyaki berperanan sebagai ahli kimia sindiket yang bertugas bagi memproses dadah.

“Suspek ini pernah ditahan sebelum ini pada tahun 2004, ketika itu dia masih kuli dan selepas dibebaskan, dia jadi dalang utama sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata polis turut menjumpai dua alat penapis udara yang disyaki digunakan bagi menghalang bau asid daripada proses penghasilan dadah dan cara ini dipercayai kali pertama digunakan.

Kamarul Zaman berkata dadah yang dirampas dipercayai bagi kegunaan lebih 700,000 pengguna dadah bagi pasaran tempatan dan luar negara.

Sementara itu, tujuh lelaki ditahan sepasukan polis dari JSJN dalam enam serbuan berasingan di sekitar Cheras dan Kuala Lumpur pada Selasa dan Rabu lepas melibatkan rampasan 20.7 kilogram dadah jenis syabu, yang dianggarkan bernilai RM1.04 juta.

Mereka yang berusia 28 hingga 57 tahun ditahan reman sehingga 3 Jun ini.

”Polis turut menyita lapan kenderaan mewah bernilai RM1.5 juta, wang tunai RM192,798 matawang tempatan dan dolar Hong Kong dan pelbagai jenis jam tangan serta barang kemas,” katanya.

— BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel