FAMA sasar kutipan hasil RM3 juta menerusi Program My Best Buy
Tarikh kemaskini: 31/05/2019

KOTA BHARU, 31 Mei (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan kutipan RM3 juta menerusi jualan pada Program My Best Buy Pra Aidilfitri yang bermula hari ini.
Pengarah FAMA Kelantan Mohd Ariffin Awang berkata program itu bertujuan mempromosi produk keluaran bumiputera yang segar dan halal di samping membantu orang ramai membuat persiapan raya.
Beliau berkata program My Best Buy ini juga diharapkan dapat dapat membantu rakyat menangani kos sara hidup melalui jualan terus produk dari pengeluar kepada pengguna pada harga yang berpatutan.
"Kita menawarkan barangan pada harga lebih rendah antara lima hingga 20 peratus berbanding harga di pasaran setempat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program My Best Buy Pra Aidilfitri di sini, hari ini.
“Jualan pada hari biasa ialah RM1 juta, namun menerusi program ini, kita menyasarkan hasil jualan RM3 juta iaitu meningkat dua kali ganda dari jualan hari biasa,” katanya dan menambah 1,200 lot tempat letak kereta percuma juga disediakan bagi kemudahan pengunjung.
"Di RTC Tunjong, terdapat 745 lot niaga yang menawarkan pelbagai komoditi yang disertai pemborong dan peruncit. Hari ini sahaja, daging yang dijual pada harga RM27 sekilo dan perkakas lembu habis terjual sebelum 11 pagi," katanya.
-- BERNAMA
|