Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Teruskan bersatu padu di sebalik perbezaan hubungan politik - Abang Johari


Tarikh kemaskini: 31/05/2019





KUCHING, 31 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata tidak salah jika masyarakat mempunyai perbezaan dalam hubungan politik dan pandangan yang berbeza tentang sesuatu perkara, namun mereka mesti bersatu padu sebagai rakyat Sarawak demi kebaikan ‘Bumi Kenyalang’ ini.

Dalam perutusan bersempena Gawai Dayak, yang disambut esok, beliau menyatakan dengan tegas bahawa  Sarawak perlu ditadbir dan dimajukan dengan membabitkan penyertaan semua kaum ke arah menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Kami tidak sempurna dan bukan semua kehendak kami telah dipenuhi. Di kawasan luar bandar di mana majoriti rakan Dayak kita tinggal, mereka masih memerlukan jalan raya, jambatan, air bersih, bekalan elektrik  24 jam dan sambungan Internet.

”Selaku ketua menteri, saya dengan rendah diri ingin menyampaikan perutusan bersempena sambutan Gawai kepada rakan kita daripada kaum Dayak.  Marilah kita belajar untuk mempercayai orang Sarawak sendiri lebih daripada kita mempercayai orang lain yang datang dan pergi. Bukan semua orang yang mungkin bersetuju dengan apa yang saya perkatakan di sini namun pada akhirnya, anak Sarawak juga yang perlu tanggung sendiri,” katanya.

Mengenai Gawai Dayak, beliau berkata sambutan itu bertujuan memberi identiti kepada komuniti Dayak di Sarawak sejak dimulakan pada 1963 dan tidak kurang penting, ia merupakan perinstiwa yang menandakan perpaduan Dayak dalam usaha mereka menuju kemajuan dan kejayaan.

“Saya percaya Gawai Dayak dan perpaduan Dayak sama sekali tidak bermaksud untuk memisahkan komuniti Dayak daripada komuniti lain, begitu juga perhimpunan  Gawai Dayak bukanlah untuk menunjukkan kekuatan kepada rakyat Sarawak daripada kaum lain,” katanya dan menambah, Dayak terkenal sebagai komuniti yang bekerja keras dan tekun dalam berhadapan kesusahan serta kesukaran.

Abang Johari yakin komuniti Dayak boleh melaksanakan peranan penting dalam membantu Sarawak menjadi  pengeksport bersih makanan dan menjadi sebahagian daripada transformasi pertanian serta ekonomi menerusi penyertaan aktif mereka dalam bidang perdagangan dan industri.

“Saya percaya peladang Dayak kita boleh memanfaatkannya dengan mengkomersialkan ladang mereka berteraskan sokongan strategi pemasaran dan kesambungan yang baik. Di sinilah mereka perlu mengubah pertanian sara diri secara tradisional kepada pertanian moden menerusi penerapan teknologi baharu dan platform pemasaran digital,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak berazam untuk memastikan kawasan luar bandar dihubungkan dengan baik, dilengkapi kemudahan manakala keupayaan ekonominya berkembang.

Sarawak kini mempunyai lebih banyak wang hasil pengenaan lima peratus ke atas produk minyak dan gas bagi eksport dan dana itu akan disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk kemudahan infrastruktur, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel