Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jambatan baharu Kampung Pulau Setelu beri faedah kepada 100,000 pengguna - Rina


Tarikh kemaskini: 31/05/2019





GUA MUSANG, 31 Mei (Bernama) -- Jambatan baharu Kampung Pulau Setelu yang mula dibuka sejak empat hari lepas dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 pengguna yang akan pulang menyambut Aidilfitri di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata sebelum ini perantau tidak mempunyai laluan alternatif dan hanya bergantung hampir sepenuhnya kepada Jalan Gua Musang-Kota Bharu selepas jambatan di kampung tersebut musnah dalam kejadian banjir pada 2014.

“Walaupun jambatan sementara dibina di Sungai Nenggiri bagi menghubungkan Jalan Gua Musang-Dabong-Jeli namun ia tidak mampu menampung aliran kenderaan yang banyak terutama menjelang Aidilfitri selain tidak berapa selamat untuk digunakan.

"Kini perantau dapat menggunakan jambatan baharu bernilai RM36.2 juta itu dengan lebih selesa dan selamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Lawatan Kerja ke Projek Jambatan Baharu Sungai Nenggiri di Kampung Pulau Setelu di sini, hari ini.

Rina berkata walaupun jambatan baharu itu belum siap sepenuhnya namun terpaksa dibuka lebih awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas menjelang sambutan Aidilfitri. 

Beliau berkata jambatan baharu itu juga memberi manfaat kepada penduduk di lebih 20 kampung di kawasan berkenaan kerana mereka dapat menggunakannya pada setiap masa dan tidak perlu risau dengan masalah perhubungan.

Ditanya mengenai sikap Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap projek pembangunan untuk rakyat di Kelantan, Rina berkata parti pemerintah tidak akan menganaktirikan negeri ini.

"Kita mengambil perhatian sama rata berhubung pelaksanaan projek pembangunan di Kelantan walaupun diperintah oleh parti yang berbeza.

Setakat ini masih banyak projek yang sedang dilaksanakan dan kementerian sentiasa turun padang untuk melakukan pemantauan supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel