Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tak sangka bertemu Yang di-Pertuan Agong


Tarikh kemaskini: 31/05/2019





MARAN, 31 Mei (Bernama) -- Peluang bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi kenangan tidak dilupakan oleh suri rumah, Nurul Shahida Rosli kerana dia tidak pernah menyangka akan memperoleh peluang sedemikian. 

Nurul Shahida, 34, yang berasal dari Felda Jengka 6 di sini berkata baginda juga sempat bertanya usia anaknya, Fatimah Az-Zahra Mohd Salehuddin, tiga bulan, yang berada di pangkuannya. 

"Baginda bertitah kepada saya supaya menjaga anak dengan baik. Saya sempat mengucapkan terima kasih atas kurnia yang disampaikan baginda kerana wang itu akan digunakan untuk membuat persiapan raya. 

"Suami hanya bekerja kampung dan tahun ini, persiapan raya kami agak perlahan kerana pendapatan yang  tidak menentu selain mengutamakan keperluan sekolah anak yang berusia 12, lapan dan lima tahun," katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini, hari ini. 

Nurul Shahida merupakan seorang daripada 200 penerima sumbangan yang terdiri daripada asnaf dan golongan kurang berkemampuan dari Maran yang terpilih untuk menerima sumbangan yang dikurniakan Sultan Abdullah. 

Sultan Abdullah terdahulu berkenan mencemar duli untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Rakyat Daerah Maran di Masjid Jamek Felda Jengka 5 di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman dan barisan kepimpinan kerajaan negeri. 

Bagi generasi kedua Felda Jengka 5 Mohd Nizam Mohd Nor, 36, yang kini bekerja kampung, dia menjunjung kasih kepada Sultan Abdullah atas kesudian baginda mengurniakan sumbangan kerana sedikit sebanyak meringankan beban kewangan keluarganya. 

"Saya juga baharu menimang cahaya mata ketiga enam hari lalu, jadi banyak wang telah dibelanjakan. Saya anggap ini sebagai rezeki anak untuk dikongsi kami sekeluarga," katanya yang turut teruja kerana kali pertama bertemu Sultan Abdullah. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin pada ucapannya berkata masjid itu yang dibina pada tahun 1973 dirasmikan oleh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. 

"Paduka ayahanda tuanku merasmikan masjid ini pada 27 Okt 1978 dan masjid ini boleh memuatkan hampir 600 orang dalam satu-satu masa. Kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah amat meruntum hati kami rakyat Pahang,” katanya.

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel