Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FAMA Negeri Sembilan buka 24 Pasar Tani Khas Pra Syawal


Tarikh kemaskini: 01/06/2019





KUALA PILAH, 1 Jun (Bernama) -- Sebanyak 24 Pasar Tani Khas Pra Syawal dibuka di seluruh daerah di Negeri Sembilan yang bermula semalam hingga 4 Jun ini, bagi memberi peluang dan kemudahan kepada orang ramai mendapatkan pelbagai keperluan persediaan bagi menyambut Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Bakri Sawir berkata pasar tani khas itu yang diadakan selama lima hari itu juga bertujuan memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

“Program khas ini diharapkan dapat menjadi pilihan utama kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan sempena Aidilfitri nanti, selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran pengguna juga berpeluang mendapatkan bekalan juadah lain seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih.

“Selain itu, ia juga diharap dapat menjadi pusat belian pilihan yang lebih baik berbanding dengan pasar-pasar awam biasa, pasar raya, pasar raya besar dan kedai runcit sedia ada kerana barangan seperti ayam, daging, ikan dan sayur yang dijual di pasar tani adalah jauh lebih segar, berkualiti serta dapat dipastikan status halal dan dijual pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran program Pasar Tani Khas Pra Syawal Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pembangunan Usahawan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan Mohd Zaidi Ahmad.

Sementara itu, ditanya mengenai bekalan barangan keperluan bagi musim perayaan di negeri ini sama ada mencukupi atau tidak, beliau berkata pihaknya telah melakukan persiapan awal bagi memastikan masalah bekalan barangan keperluan tidak berlaku.

“Segala usaha untuk memastikan barangan keperluan mencukupi itu memang sudah dijalankan dari awal lagi, cuma kadang-kadang permintaan barangan keperluan ini tidak menentu, jika ada kekurangan kita akan mengambil tindakan dengan cepat untuk kita bantu,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel