Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kempen hindari penggunaan plastik sekali guna dikuatkuasa di jabatan kerajaan Selangor mulai 1 Julai


Tarikh kemaskini: 01/06/2019





SHAH ALAM, 1 Jun (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan menguatkuasakan kempen hindari penggunaan plastik sekali guna di semua jabatan dan agensi di bawah pentadbiran negeri itu mulai 1 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata cadangan untuk pelaksanaan kempen itu diluluskan oleh kerajaan negeri pada Rabu lepas sejajar dengan pelan hala tuju sifar plastik pakai buang 2018-2030 oleh kerajaan pusat.

Beliau berkata kempen itu bertujuan menangani masalah alam sekitar khususnya berpunca daripada pencemaran ekoran penggunaan barangan plastik sekali guna demi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat.

“Kempen itu akan dikuatkuasakan di bangunan pentadbiran kerajaan negeri termasuk jabatan serta agensi di bawahnya seperti pejabat tanah dan daerah, badan berkanun negeri, pihak berkuasa tempatan dan anak-anak syarikat di bawah pentadbiran kerajaan Selangor.

“Selain itu, ia juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang sentiasa berusaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna khususnya beg plastik dan polistirena,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hee berkata semua jabatan dan agensi terlibat perlu mengikuti panduan bagi menghindari penggunaan plastik sekali guna iaitu dengan menggantikan botol minuman plastik sekali guna kepada botol kaca atau menyediakan jag air; dan menggantikan pembalut plastik pada piring, pinggan atau mangkuk dengan penutup makanan yang boleh diguna semula.

Tambah Hee, semua jabatan dan agensi terlibat juga disaran menyediakan dispenser air untuk kemudahan isian semula selain tidak menyediakan piring, pinggan, mangkuk, cawan dan kutleri bersifat sekali guna dan mengelakkan daripada penggunaan penyedut minuman plastik.

“Semua pegawai yang bertugas dan orang awam yang berurusan di bangunan jabatan kerajaan negeri juga amatlah digalakkan membawa bekas makanan berserta kutleri termasuk penyedut minuman guna semula untuk kegunaan peribadi selain menggunakan beg khas guna semula semasa membeli makanan dan minuman di kafeteria,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui pihaknya akan mengatur strategi untuk menyebar luaskan amalan berkenaan menerusi semua platform komunikasi terutama media sosial selain menyediakan bahan-bahan promosi berbentuk infografik, video dan sebagainya demi menjayakan kempen itu.

Jelas Hee, pihaknya juga menggalakkan badan swasta, sekolah, rumah ibadat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sebagainya dapat turut serta dalam kempen tersebut dan melaksanakannya melalui usaha sendiri di pelbagai lokasi dengan melibatkan seluruh rakyat di negeri itu demi mencapai tujuan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna pada masa depan.

-- BERNAMA

 

 

 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel