Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan dengan kereta peronda polis


Tarikh kemaskini: 05/06/2019




ALOR SETAR, 5 Jun (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan maut apabila kereta yang dinaikinya bersama tiga lagi anggota keluarganya bertembung dengan sebuah kereta peronda dari Balai Polis Kuala Kedah di Kampung Selarong Batak, Kuala Kedah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata dalam kejadian kira-kira 11.55 malam itu, mangsa Nur Qistina Qaisara Abdullah, 7, yang merupakan penumpang kereta jenis Perodua Viva maut di tempat kejadian.

Seorang remaja lelaki yang berusia 18 tahun yang memandu kereta tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada, seorang wanita berusia 30 tahun patah kaki manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tidak mengalami kecederaan.

Dua anggota polis berusia 56 dan 57 tahun yang bertugas di Balai Polis Kuala Kedah itu mengalami kecederaan ringan.

"Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Kuala Kedah menuju ke Tebengau sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta peronda yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu bahagian hadapan kedua-dua kereta remuk teruk dan ketika siasatan dijalankan persekitaran jalan cerah dan mempunyai lampu jalan serta keadaan cuaca adalah baik," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Rozi berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel