inyOrcoMP7w Melaka Delite: Keenakan buah mangga negeri Melaka
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka Delite: Keenakan buah mangga negeri Melaka


Tarikh kemaskini: 07/06/2019





Oleh Fadzli Ramli

MELAKA, 7 Jun (Bernama) -- Sekiranya negeri Perlis terkenal dengan mangga Harumanis, negeri Melaka tidak kurang hebatnya apabila diperkenalkan varian mangga dari negeri ini iaitu Melaka Delite yang menjadi kegemaran rakyat serta pelancong ke negeri bersejarah ini.

Peniaga Mangga Melaka Delite, Fatimah Md Isa, 67, yang menguruskan perniagaan di gerai yang terletak di Kampung Gelam, Tanjung Kling di sini berkata projek penanaman mangga varian Chokanan  MA224 itu mula dilaksanakan sekitar tahun 2000 di negeri ini.

Beliau berkata apa yang membezakan Melaka Delite dengan mangga varian lain ialah warna kuning buahnya berbeza serta isinya yang lebih manis dan berair apabila masak berbanding mangga varian lain.

"Dengan isi yang manis dan lebih berair, Melaka Delite ini selain dimakan begitu sahaja juga sesuai dibuat jus, ada juga usahawan yang membuat makanan seperti jeruk, halwa, rojak dan yogurt daripada mangga ini. Kanak-kanak paling suka Melaka Delite kerana rasanya yang lebih manis.

"Orang Melaka nak cari Melaka Delite memang mereka tau kena datang ke Kampung Gelam ini kerana ramai penduduk di kawasan ini dan sekitarnya terlibat dengan penanaman Melaka Delite,” katanya kepada Bernama.

Kampung Gelam serta kawasan sekitar yang sebelum ini adalah tanaman padi terbiar, adalah kawasan utama Melaka Delite di negeri ini dengan seluas 139 hektar diusahakan kira-kira 100 penduduk kampung sejak tahun 2000, melibatkan lebih 30,000 pokok mangga Melaka Delite.

Dengan penjagaan yang betul pokok mangga Melaka Delite mampu berbuah seawal tiga tahun dengan purata 70 biji buah sepokok, dan ketika mencapai usia sekitar tujuh tahun ia mampu mengeluarkan sekitar 300 biji buah sepokok.

Fatimah berkata dengan penjagaan yang betul juga buah mangga Melaka Delite mampu mencecah berat lebih 400 gram sebiji, namun harga buah itu agak meningkat pada masa ini kepada sekitar RM6 hingga RM8 sekilogram berbanding RM10 untuk tiga kilogram pada awal penanamannya.

“Bila bekalan semakin kurang sudah tentu harga semakin meningkat, jadi itulah yang dihadapi Melaka Delite sekarang kerana semakin lama semakin ramai penanam berhenti kerana pelbagai masalah seperti kos tanam semakin mahal dan sokongan daripada kerajaan serta swasta amat kurang.

“Tetapi permintaan Melaka Delite pada masa ini amat baik sekali, kita boleh jual kira-kira 30 kilogram sehari pada hari biasa dan cecah 60 kilogram pada hari yang baik seperti hari minggu,” katanya.

Seorang pemilik dusun mangga Melaka Delite, Menhat Jaafar, 72, berkata menanam mangga itu mampu memberikan pulangan agak memberangsangkan dan menambah pendapatan penduduk kampung, namun seperti diperkatakan Fatimah agak ramai penanam berhenti kerana pelbagai masalah.

“Saya punyai dusun tiga ekar (1.21 hektar) di Bukit Rambai hasilnya boleh tahan, pada awalnya memang agak lumayan tetapi lama-lama barang untuk tanaman itu seperti baja semakin mahal, sokongan juga semakin kurang, mangga kena curi itu satu hal juga.

“Bila musim tengkujuh terlalu lama juga datangkan masalah kerana pokok terdedah dengan serangan ulat batang, ulat beluncas dan kumbang buah, jadi kita perlukan pertolongan untuk atasi masalah ini dan hasilkan buah lebih bermutu,” katanya.

Pada masa kini, kira-kira 70 peratus daripada 100 penanam Melaka Delite masih terlibat dengan tanaman itu secara komersial dan ramai menanam hanya untuk makan sendiri, justeru pada masa ini penanam sepertinya memerlukan sokongan seperti khidmat nasihat dan bantuan dari segi pemasaran serta baja.

Petugas media, Sharon Lai, 46, berkata pada peringkat awal Melaka Delite mempunyai potensi yang amat besar dan mengingati betapa orang kenamaan seperti bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyukai mangga itu apabila melawat tanaman Melaka Delite di Kampung Gelam pada 2006. 

“Sepanjang pengalaman saya membuat liputan Melaka Delite, ia amat berpotensi sehingga Kerajaan Negeri pada masa itu mempunyai perancangan untuk mengeksport Melaka Delite ke Timur Tengah dengan pelbagai produk dapat dihasilkan daripada mangga itu.

“Kenapa tidak ia dihidupkan kembali, mungkin sebagai satu produk agro-pelancongan yang mana pelancong negara luar boleh datang ke dusun menikmati sendiri Melaka Delite atau meningkatkan mutu mangga itu sehingga ia mampu menjadi produk eksport kelas pertama,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel