Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki guna siren polis mudahkan perjalanan ditahan


Tarikh kemaskini: 08/06/2019





BATU PAHAT, 8 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki yang menggunakan siren polis untuk memudahkan perjalanannya meredah kesesakan lalu lintas di Parit Raja, di sini, petang Khamis (6 Jun) sudah ditahan pihak berkuatkuasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim berkata penahanan lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan kira-kira 10.30 pagi semalam, susulan satu aduan awam yang dilakukan pada 2.30 pagi hari sama. 

Katanya sebuah rakaman video yang menunjukkan kenderaan suspek menggunakan siren itu turut menjadi tular dalam media sosial sejak kejadian.

“Dalam penahanan itu, polis telah merampas sebuah kereta Proton Gen 2 yang digunakan suspek. Selain itu, satu set siren yang telah dipasang dalam kereta berkenaan turut ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 kerana kesalahan menghalang lalu lintas serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Jika sabit dengan kesalahan halangan lalu lintas itu, suspek boleh didenda sebanyak RM200 atau dipenjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan menyamar penjawat awam, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengamalkan pemanduan berhemah terutama di musim perayaan yang sering berlaku kepadatan serta kesesakan lalu lintas.

 -- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel