Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemandu kereta sapu ditahan kerana ceroboh, cuba bunuh diri


Tarikh kemaskini: 10/06/2019





JOHOR BAHRU, 10 Jun (Bernama) -- Seorang pemandu kereta sapu ditahan selepas menceroboh dan cuba membunuh diri di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata lelaki berumur 31 tahun itu dipercayai nekad cuba terjun dari tingkat empat bangunan tersebut akibat putus cinta dan masalah kewangan, namun, berjaya diselamatkan pasukan bomba sebelum diserahkan kepada polis.

"Pada 3.15 petang, anggota polis BSI, menerima panggilan daripada anggota bertugas kawalan BSI yang mengatakan terdapat seorang lelaki bertindak menceroboh masuk tingkat empat bangunan bas keluar masuk Malaysia dan sedang cuba terjun bangunan.

"Pihak bomba dipanggil untuk menyelamatkan lelaki itu dan dengan kerjasama pihak polis BSI dan bomba, lelaki itu kemudian dapat ditenangkan serta diselamatkan pada 5.05 petang," katanya.

Shahurinain berkata hasil soal siasat, lelaki terbabit mengaku dia cuba membunuh diri akibat putus cinta dan masalah kewangan serta ada mengambil dadah jenis syabu.

Beliau berkata lelaki berasal dari Kluang terbabit akan direman esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba bunuh diri dan Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan 1959 kerana menceroboh.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Pegawai Bomba Tinggi K.Karupanan berkata lelaki berkenaan berjaya diselamatkan selepas kira-kira setengah jam dipujuk anggota bomba.

"Bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.35 petang tadi sebelum menggerakkan 17 anggota bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian," katanya yang dihubungi.

Karupanan berkata lelaki itu, bagaimanapun, selamat dibawa turun dari ketinggian kira-kira 10 meter terbabit dengan menggunakan ‘Aerial Ladder Platform’ (ALP) dan operasi menyelamatkannya kemudian ditamatkan pada 5.15 petang.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel