Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MAKAF akan ambil tindakan undang-undang terhadap lima persatuan, individu


Tarikh kemaskini: 10/06/2019





MELAKA, 10 Jun (Bernama) -- Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) akan mengambil tindakan undang-undang dan membuang keanggotaan lima persatuan di bawahnya yang dilihat tidak menunjukkan minat untuk terus bersama MAKAF selain tidak menghormati presiden dan barisan exco sedia ada.

Setiausaha Agung MAKAF Datuk Nur Azmi Ahmad berkata lima persatuan itu ialah Persatuan Karate Goshin Ryu, Persatuan Karate Putrajaya, Persatuan Karate Pahang, Persatuan Karate Perak dan Persatuan Karate Pulau Pinang.

Beliau berkata selain itu, tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap beberapa individu daripada persatuan itu yang dikesan menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan kepala surat MAKAF tanpa kebenaran termasuk untuk tujuan mencari sumbangan dan laporan polis juga telah dibuat untuk tindakan lanjut.

"Kita akan membuat keputusan ini dalam mesyuarat Supreme Council (Majlis Tertinggi) yang dijangka diadakan pada 19 Jun ini sebelum membawanya ke Mesyuarat Agung Luar Biasa kerana ia melibatkan prosedur yang perlu kita patuhi.

"Pergolakan ini perlu segera ditamatkan kerana ia bukan sahaja memberi kesan pada kelancaran pengurusan dan pentadbiran MAKAF malah terhadap industri karate di negara ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, malam tadi.

Semalam Bernama melaporkan sebanyak 12 gabungan MAKAF menzahirkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Majlis Eksekutif badan itu berhubung pelbagai isu berkaitan sukan Karate Do sejak Februari tahun lepas.

Turut hadir Presiden MAKAF Tan Sri Mohd Ali Rustam. 

Mengulas lanjut, Nur Azmi berkata pihaknya telah menghantar notis kepada pihak kedua dalam MAKAF iaitu kumpulan yang tidak 'seteru' dengan barisan kepimpinan MAKAF baharu yang dilantik menerusi Mesyuarat Agung tahun lepas.

Beliau berkata bagaimanapun notis berkenaan tidak dijawab pihak terlibat dan ia menunjukkan mereka tidak berminat untuk terus bersama MAKAF khususnya kepimpinan baharu yang mendapat sokongan daripada Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia dan di peringkat antarabangsa termasuk oleh Persekutuan Karate Dunia.

Sementara itu, Mohd Ali berkata beliau agak kecewa dengan pergolakan yang berlaku dalam MAKAF khususnya polemik atau isu yang dicetuskan pihak kedua dalam persekutuan itu kerana ia akan membantutkan usaha memajukan sukan karate negara.

Beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan semalam juga tidak mencerminkan pendirian 12 gabungan MAKAF yang didakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Majlis Eksekutif badan itu berhubung pelbagai isu berkaitan sukan Karate Do sebaliknya ia lebih kepada rasa tidak puas hati individu kerana kalah dalam pemilihan jawatan yang dipertandingkan.

Katanya justeru kumpulan itu juga dinasihatkan agar menerima keputusan pemilihan barisan kepimpinan baharu yang dipilih kerana ia mengikut prosedur yang ditetapkan perlembagaan persekutuan itu.

"Saya lihat cara ini tidak baik untuk perkembangan sukan negara...barisan kepimpinan MAKAF sedia ada telah menang pada Mesyuarat Agung lepas dan sekiranya mereka tidak setuju, tahun hadapan pilih semula. Sekarang ini kita perlu fokus pada pembangunan sukan karate negara dan kebajikan atlet," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi

 
     

Senarai penuh Kabinet Sarawak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel