Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dipinda - Nga Kor Ming


Tarikh kemaskini: 10/06/2019





TELUK INTAN, 10 Jun (Bernama)  -- Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming  mencadangkan supaya Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dipinda bagi menambah baik prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa akan datang.

Ketika mencadangkan agar pindaan itu dibuat pada sidang Dewan Rakyat akan datang, Nga berkata ketika ini seksyen berkenaan memperuntukkan kuasa kepada Perdana Menteri untuk melantik mana-mana individu menerajui agensi penguatkuasaan itu.

"Pindaan itu perlu memasukkan klausa supaya sebelum pelantikan dibuat (individu yang dilantik) perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama.

"Oleh itu, proses pelantikan pada masa akan datang ialah (nama) individu yang dicadangkan oleh perdana menteri, diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi latar belakangnya kemudian perdana menteri membuat penilaian terakhir sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk lantikan," katanya.

Nga yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia cawangan Hilir Perak kali ke-21 di sini, hari ini.

Pada 4 Jun lalu, Pejabat Perdana Menteri  dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan peguam Latheefa Beebi Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM berkuatkuasa 1 Jun.

Latheefa mengambil alih daripada Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon untuk memendekkan kontrak perkhidmatan yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei tahun depan.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel