Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian Kewangan, Pengangkutan tidak tahu cadangan lapangan terbang baharu


Tarikh kemaskini: 10/06/2019





KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan serta kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang, sama sekali tidak tahu menahu mengenai cadangan pembinaan dua lapangan terbang baharu bernilai belasan bilion ringgit di Pulau Pinang, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, laporan akhbar milik MCA itu, hanya menyebabkan kekeliruan di kalangan industri komunikasi dan pengangkutan, kerana mereka tidak menyatakan siapa yang menghadiri atau menerima cadangan-cadangan itu.

“Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir kedua-duanya telah memberitahu saya, bahawa mereka juga tidak tahu langsung tentang kedua-dua cadangan lapangan terbang seperti yang diuar-uarkan,” katanya.

Akhbar itu hari ini melaporkan terdapat dua syarikat yang merancang untuk membina lapangan terbang baharu, masing-masing dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA), di dua lokasi berbeza di selatan Seberang Perai di bahagian tanah besar Pulau Pinang.

Laporan itu menyebut, dua lapangan terbang baharu yang dicadangkan itu akan menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan Lepas selain menyebabkan cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim melalui Inisiaitf Pembiayaan Swasta (PFI) tidak lagi perlu. 

Lim berkata, spekulasi tidak berasas itu juga sangat tidak adil, apabila ia memberi tanggapan negatif bahawa kerajaan persekutuan bertindak secara melulu tanpa memikirkan kerajaan negeri atau rakyat, dengan mempertimbangkan projek sebesar itu yang melibatkan ribuan hektar tanah sawah.

Melalui Belanjawan 2019, Lim berkata kerajaan secara jelas telah menyatakan mengenai hasrat untuk memperbesarkan PIA sedia ada kepada kapasiti 16 juta penumpang setahun, daripada 6.5 juta sekarang ini.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan, untuk membina dua lapangan terbang baharu di Pulau Pinang oleh syarikat swasta seperti yang dilaporkan akhbar bahasa Inggeris itu, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu hari ini, pihak kementerian tidak pernah dimaklumkan mengenai cadangan berkenaan, malah turut tidak terlibat dalam sebarang perbincangan mengenainya.

Kenyataan itu menjelaskan kuasa untuk menubuhkan, menyenggara atau membenarkan mana-mana syarikat yang mempunyai lesen, untuk membina dan mengendalikan sesuatu aerodrom, adalah merupakan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Pengangkutan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3].

“Kementerian Pengangkutan menggesa pihak media, supaya tidak membuat sebarang laporan spekulasi berhubung pembinaan lapangan terbang, tanpa pengesahan daripada pihak kementerian.

“Kementerian Pengangkutan pada masa ini sedang merancang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang sedia ada di Bayan Lepas,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel