Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

POCCM bantu OKU jana pendapatan dalam talian


Tarikh kemaskini: 10/06/2019





KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) --  Pertubuhan Orang Cacat Cina Malaysia (POCCM) buat pertama kalinya menganjurkan Bengkel e-Dagang yang disertai 15 peserta golongan kurang upaya (OKU) dalam usaha membantu mereka menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Setiausaha Agungnya Sia Siew Chin berkata latihan yang diadakan selama dua hari mulai hari ini memberi pendedahan lebih khusus kepada golongan itu mengenai teknologi masa kini yang membolehkan mereka bekerja dari rumah.

Seramai 10 tenaga pengajar dari Jios Academy Sdn Bhd yang terlibat dalam bengkel itu mengajar peserta antaranya mengenai pemilihan produk, perkhidmatan kurier dalam talian, membangunkan permulaan halaman untuk perniagaan serta sumber pelanggan.

“Apabila diberi pendedahan mengenai teknologi ini, golongan OKU ini ada kemahiran untuk berniaga dalam talian dan mereka tak payah fikir mengenai masalah pengangkutan untuk pergi tempat kerja, persekitaran di tempat kerja serta sikap pekerja lain,” katanya kepada pemberita di Pejabat POCCM di Puchong di sini, hari ini.

Menurut Sia, pihaknya berhasrat mengadakan bengkel yang sama pada masa akan datang dan mengalu-alukan lebih ramai golongan kurang upaya menyertainya.

“Kalau boleh kita mahu dapatkan satu dewan besar supaya mereka dapat belajar dengan lebih selesa selain dewan itu mesra OKU termasuk tiada tangga agar mudah bagi mereka pergi ke tandas,” katanya sambil menambah pertubuhan itu mempunyai 1,700 anggota dari seluruh negara.

Sementara itu, Tan Geok Kian, 53,  yang merupakan seorang OKU fizikal serta memerlukan sokongan untuk berjalan berkata bengkel itu memberi manfaat kerana mereka diajar cara menjalankan perniagaan secara dalam talian serta tanpa modal.

"Bengkel ini ajar bagaimana mahu buka perniagaan dari rumah, dari mula sampai pemilihan produk dan saluran dalam talian yang bersesuaian seperti Ali Baba, Shoppe dan sebagainya.

"Untuk orang macam saya kalau mahu kerja makan gaji banyak halangan daripada segi pengangkutan dan kemudahan yang kurang mesra OKU. Perniagaan ini saya boleh buat tanpa perlu banyak bergerak kerana saya buat secara dropship, tak perlu ke pejabat pos," katanya.

Bagi Kok Fook Loon, 50, atau Allan Kok yang berkerusi roda kerana mengalami masalah tulang belakang berkata bengkel itu membantu golongan OKU berdikari serta mempunyai pendapatan lumayan sekiranya rajin dan bersungguh-sungguh.

"Saya nak bergerak susah dan perlahan. Berniaga dalam talian secara dropship bermakna tak perlu simpan barang dan masa saya lebih fleksibel kerana saya tidak perlu keluar, hanya perlu ilmu pemasaran yang betul," katanya.

--  BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel