Polis Seremban cari saksi kes dadah
Tarikh kemaskini: 11/06/2019
SEREMBAN, 11 Jun (Bernama) -- Polis mencari seorang lelaki untuk membantu siasatan terhadap kes dadah yang dijumpai dalam sebuah kereta di Jalan Batu-Rasah di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Thiew Hock Poh dalam kenyataan di sini, hari ini berkata saksi berkenaan adalah S. Sasitharan, 30.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai saksi bernama Sasitharan dikehendaki menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor M. Ravinder di talian 06-6033286 atau hadir ke mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.
Dalam kejadian pada 5.45 petang semalam, Thiew berkata sebuah kereta Proton Wira yang dalam keadaan mencurigakan telah melarikan diri daripada ditahan anggota peronda polis sebelum terbabas di bahu jalan berkenaan.
“Pemandu kereta dipercayai seorang lelaki telah meluru keluar daripada kenderaan dan melarikan diri menyeberangi jalan ke arah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kereta berkenaan menjumpai sebuah dompet mengandungi dokumen pengenalan diri, peralatan menghisap dadah, tiga plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 3.18 gram dan peralatan dipercayai untuk kegiatan pecah rumah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
-- BERNAMA
|