Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Aplikasi eZCyberCrime bantu tangani jenayah siber


Tarikh kemaskini: 11/06/2019




NILAI, 11 Jun (Bernama) -- Sejajar hasrat memenuhi kehendak Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), sebuah aplikasi telefon pintar yang dikenali sebagai eZCyberCrime telah dibangunkan bagi mengatasi jenayah siber khususnya melibatkan perbankan elektronik.

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Madihah Mohd Saudi berkata eZCyberCrime yang boleh diakses menerusi telefon pintar itu beroperasi untuk mengesan eksploitasi sumber berdasarkan beberapa ciri pengawasan yang dibina.

“Ciri pengawasan ini termasuklah secara pengesanan dan gerak balas automatik,” katanya kepada Bernama, di sini.

Katanya, dalam kajian yang dijalankan selama lima tahun sejak 2014, pihaknya telah menemukan satu penyelesaian untuk aplikasi eZCyberCrime berfungsi tanpa mengganggu prestasi dan bateri telefon pintar.

“Malah dapat memaparkan keputusan dalam masa yang singkat. Produk inovasi ciptaan kumpulan penyelidik ini menggabungkan tiga ciri iaitu teknik kecerdasan buatan, analitik pintar dan konsep sistem imunologi manusia yang dikenali sebagai apoptosis.

"Ia mengambil kira lima elemen dalam telefon pintar terutamanya peranti Android yang mudah dieksploitasi oleh penyerang iaitu melalui panggilan telefon, SMS, kamera, audio dan GPS. Setelah mengenal pasti lima elemen tersebut, serangan yang bakal berlaku dapat dikesan lebih awal untuk mengelakkan kesan buruk antaranya kerugian wang apabila penyerang menyasarkan serangan maklumat akaun bank individu,” katanya.

eZCyberCrime meraih pingat perak dalam kategori ICT 'International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2019' yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Mei lepas. ITEX 2019 mengumpulkan lebih 1,000 reka cipta yang disertai oleh pelbagai universiti, badan-badan korporat serta individu dari pelbagai negara ASEAN dan Asia seperti Australia, Korea dan Taiwan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel