Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ATM rampas 120kg daun ketum di Padang Terap


Tarikh kemaskini: 11/06/2019




ALOR SETAR, 11 Jun (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan dua lelaki warga Thailand dan merampas 120 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM10,800 yang cuba diseludup ke negara jiran dekat sempadan Durian Burung, Padang Terap, semalam.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Mohd Halim Khalid berkata suspek berusia 20 hingga 30-an itu ditahan pasukan ronda ATM yang sebelum itu terserempak dengan dua lelaki menunggang dua motosikal dan sebuah kereta di satu kawasan hutan dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan itu mendapati suspek sedang memindahkan empat guni daun ketum dari kereta tersebut ke atas dua motosikal jenis Honda Wave sebelum mereka bertindak cuba melarikan diri sebaik menghidu kehadiran pasukan keselamatan.

“Bagaimanapun kedua-dua lelaki itu berjaya ditahan, manakala pemandu kereta jenis Proton Saga yang disyaki lelaki tempatan dapat meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Halim berkata, anggota berkenaan kemudian membuat pemeriksaan terhadap empat guni putih itu dan menemui di dalamnya daun ketum segar diikat rapi menggunakan plastik lutsinar yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

Mohd Halim berkata, permintaan dan harga yang tinggi di Thailand menyebabkan penyeludup sanggup menanggung risiko menyeludup bahan terlarang itu demi mengaut keuntungan yang lumayan.

“Setiap satu kilogram daun ketum dibeli di sini pada harga RM90 dan dijual di Thailand berlipat kali ganda menyebabkan kegiatan ini masih berlarutan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mengetatkan kawalan di sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan daun ketum dan bahan terlarang di kawasan itu yang dijangka meningkat selepas Aidilfitri.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut.  

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel