Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KKMM rangka polisi berteraskan teknologi, lahirkan tenaga kerja seiring perkembangan IR 4.0


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





KLANG, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang merangka satu polisi berteraskan teknologi untuk diterapkan di semua sekolah sebagai usaha melahirkan tenaga kerja yang seiring dengan perkembangan era digital dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) pada masa depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata polisi seumpama itu dilihat perlu diwujudkan berikutan terdapatnya keperluan tertentu pada masa kini yang harus diperhalusi demi mendepani pelbagai cabaran dalam era teknologi baharu pada tahun mendatang.

Beliau berkata buat masa ini, terdapat sesi pembelajaran telah dimulakan di beberapa sekolah oleh agensi berkaitan iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) seperti pengaturcaraan komputer, ‘Artificial Intelligence’, robotik dan sebagainya.

Mengambil contoh Kolej Institut Teknologi Pekerja (WIT) di sini yang telah melahirkan ramai tenaga kerja berkaitan kemahiran, beliau berkata MDEC disaran supaya mendekati kolej-kolej vokasional dalam meneliti persediaan pelajarnya untuk menjadi tenaga kerja yang memenuhi kehendak IR 4.0 dan perkembangan teknologi. 

“Kita dalam proses merangka polisi berkaitan tenaga kerja dan teknologi yang akan diterapkan di semua sekolah termasuk sekolah vokasional, sekolah kemahiran dan sebagainya pada masa depan.

“Seperti Kolej WIT, sekiranya kita boleh bekerjasama, maka keperluan-keperluan (berkaitan teknologi baharu dan IR 4.0) dapat diperhalusi dan kita akan kemukakan cadangan mengenainya semasa proses merangka polisi tersebut sebelum dikemukakan kepada Kabinet kelak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Dr V David kolej berkenaan, di sini hari ini.

Beliau berkata selain kementeriannya, terdapat beberapa kementerian lain antaranya Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan turut sama memberi fokus kepada usaha tersebut.

Ditanya mengenai jangkaan untuk membentangkan cadangan polisi itu kepada Kabinet, Gobind berkata belum ada tempoh tertentu ditetapkan kerana buat masa ini, KKMM masih mengumpul maklum balas dan maklumat daripada pelbagai pihak berkaitan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel