Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sindiket pelacuran libatkan wanita warga asing tumpas


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





JOHOR BAHRU, 11 Jun (Bernama) -- Satu sindiket pelacuran tumpas, dengan penahanan lima individu termasuk seorang lelaki warga Zambia, dalam serbuan Ops Pintas di sebuah premis perniagaan di Taman Nusa Bestari dekat Skudai, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata turut ditahan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan, berusia antara 23 hingga 47 tahun itu.

Kesemua mereka ditahan pada 11.35 malam oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, bersama Ibu Pejabat Kontinjen Johor dan Iskandar Puteri.

Dalam serbuan berkenaan, pihak polis turut menyelamatkan 23 wanita warga Vietnam dan Thailand  berumur 15 hingga 39 tahun, yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pelacuran itu.

“Berdasarkan keterangan suspek, sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama tiga tahun,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata kesemua warga Thailand yang diselamatkan, ada yang baru datang tiga hari hingga seminggu, manakala warga Vietnam pula, kebanyakan mereka sudah berada di sini antara sebulan lepas sehingga setahun.

Turut dirampas pelbagai barangan antaranya adalah 443 keping kondom, kertas catatan rekod kerja mangsa, wang tunai RM27,460 dan satu buah kenderaan jenis Mercedes Benz warna putih.

“Kita juga merampas wang tunai 420 dolar Singapura, satu buku cek, satu unit kunci kereta Mercedes Benz, satu  iPad warna silver, dua batang pen warna hitam dan merah, tiga remote pintu, satu kalkulator jenama Canon, dua helai tuala mandi, tiga tiub Carex Lubricating Jelly, tujuh telefon bimbit pelbagai jenis, dua gulung tisu dan buku nota kecil,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman selama lima hari, bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Sesyen 12 dan 14 Antipemerdagangan Orang (ATIP) 2007 dan Sesyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel