Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dermaga diharap didik anak muda, bendung masalah buang bayi


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





KULAI, 11 Jun (Bernama) -- Program Diriku Permata Berharga (Dermaga) yang antara lain mendidik masyarakat mengenai kepentingan kesihatan reproduktif, diharap dapat memberi kesedaran kepada orang muda terutama dalam membendung masalah sosial seperti pembuangan bayi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Liow Cai Tung berkata meskipun statistik kes pembuangan bayi di negeri ini menunjukkan penurunan, program kesedaran mengenai masalah sosial itu harus diteruskan.

"Sebanyak 22 kes pembuangan bayi direkodkan di negeri ini bagi tahun 2017, bagaimanapun hanya enam kes direkodkan pada tahun lepas.

“Bagaimanapun, saya menyeru penglibatan lebih ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama menyalurkan maklumat dan pengetahuan yang tepat kepada golongan muda bagi membendung masalah pembuangan bayi ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Dermaga itu di Foon Yew High School, di sini, hari ini.

Menurut Anggota Dewan Undangan Negeri Johor Jaya itu, kerajaan negeri sentiasa komited dalam membendung masalah sosial itu dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) sentiasa mengadakan kursus dan seminar kepada pelajar sekolah.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara  (LPPKN) dengan kerjasama pihak sekolah juga masing-masing mempunyai kaunselor bagi rujukan pelajar sekiranya mereka mempunyai masalah.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan  RM100,000 menerusi Belanjawan 2019 untuk menjalankan Program Dermaga sebagai usaha untuk membendung masalah sosial di kalangan generasi muda di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT Mohd Helmi Sha'ri berkata pihaknya sentiasa  mengadakan program itu bersama-sama pihak sekolah termasuk sesi ceramah serta kempen kesedaran mengenai risiko HIV dan pembuangan bayi.

"Kita fokuskan kepada implikasi masalah sosial seperti jangkitan HIV, pembuangan bayi dan seks selamat di mana kita bagi pendedahan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     

Sultan Nazrin rasmi Ekspo Antarabangsa Perak 2019

 
     

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel