Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peniaga patuh kawalan harga musim perayaan


Tarikh kemaskini: 11/06/2019





Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar and Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Sejak kebelakangan ini para peniaga dilihat bersikap lebih bertanggungjawab dalam meletakkan harga barangan perlu pada musim perayaan, ia hasil pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dan kuasa media sosial.

Bukan itu saja, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati kebanyakan peniaga menjual barangan pada harga di bawah harga siling yang ditetapkan mengikut SHMMP bagi musim perayaan Hari Raya ini. Tinjauan ringkas Bernama di beberapa pasar raya besar di sekitar bandar raya ini juga menunjukkan trend serupa.   

Ketua Seksyen Kawalan Harga dan Anti Pencatutan KPDNHEP, Abd Hafidz A Rahim berkata para peniaga yang gagal mematuhi SHMMP semakin kurang dan ini menguntungkan pengguna.

"Sekarang pengguna memang dah bijak berkongsi maklumat dengan adanya media sosial serta laman-laman yang berkenaan di Internet.

"Contohnya, kalau saya tahu di premis A harga ayam lagi murah, menjadi tanggungjawab saya menyebarkan kepada kawan-kawan saya berkenaan perkara itu," katanya kepada Bernama dan berkata para peniaga yang gagal mematuhi SHMMP akan menanggung kerugian.

Pelaksanaan SHMMP bagi musim perayaan Hari Raya tahun ini yang bermula pada 21 Mei telah dipanjangkan selama 30 hari lagi sehingga 19 Jun berbanding 15 hari pada tahun-tahun sebelum ini dan 27 barangan disenaraikan berbanding 21 pada masa lepas.

Antara barangan yang disenaraikan ialah ayam (hidup, standard, super), telur (grade A, B, C), daging lembu (tempatan, import), daging kerbau import (India) dan bawang (bawang merah kecil import dari India).

Di pihak pengguna pula, ramai yang memberitahu Bernama mereka gembira dan menyambut baik pelaksanaan SHMMP dan berharap lebih banyak barangan akan disenaraikan dalam senarai harga barang kawalan pada masa depan.

Pesara Abdul Rahman Abu Samah, 74, memuji kawalan harga barangan perlu pada musim perayaan ini.

"Bagi orang kebanyakan seperti saya, SHMMP amat baik kerana ia menawarkan penjimatan yang banyak untuk barangan yang amat diperlukan pada musim perayaan seperti ayam, daging dan sayur-sayuran,” kata beliau.

Sementara itu, seorang pemilik restoran Liyana Jawhari, 34, berkata beliau gembira melihatkan ramai peniaga mematuhi SHMMP dan mereka yang ingkar perlu dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

"Terdapat kedai-kedai dan pasar raya-pasar raya yang belum mematuhi sepenuhnya skim kawalan harga ini dan menjual barang kawalan pada harga ikut suka hati dan sudah tentu mereka wajar dihukum dengan denda yang setimpal.

Guru Rosmawati Hammad, 56, pula berkata pihak KPDNHEP sepatutnya menggunakan media sosial secara kreatif dan menyemak semula strategi-strateginya berkaitan bagaimana untuk mewujudkan kesedaran mengenai SHMMP supaya ia dapat menjangkau lebih ramai pengguna.

"Sekarang ini, orang lebih banyak menggunakan media sosial sebagai sumber maklumat mereka, jadi KPDNHEP boleh menggunakan media sosial dengan membuat video bermaklumat mengenai SHMMP supaya para pengguna tahu harga barangan kawalan pada musim perayaan. Saya percaya tidak semua pengguna sedar bahawa kita mempunyai skim ini yang sedang dilaksanakan dari 21 Mei hingga 19 Jun," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel