Penjara di Selangor, Kuala Lumpur catat 3,700 lebihan penghuni
Tarikh kemaskini: 12/06/2019

SUNGAI BULOH, 12 Jun (Bernama) -- Penjara di Selangor dan Kuala Lumpur mencatat lebihan sebanyak 3,700 orang penghuni berbanding had kapasitinya 8,200 orang.
Pengarahnya Abd Kadir Rais berkata jumlah penghuni yang dicatatkan sehingga kini ialah 11,900 orang bagi keseluruhan Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Kajang Wanita dan Pusat Koreksional Puncak Alam.
“Dengan jumlah itu, sebanyak 2,400 anggota penguatkuasa penjara secara keseluruhan bertugas untuk menjaga keamanan penjara.
“Mungkin sahaja agensi keadilan jenayah boleh pertimbangkan pesalah dengan hukuman ringan untuk melakukan khidmat komuniti dengan pemantauan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau juga mencadangkan agensi-agensi lain berkaitan keadilan jenayah supaya bekerjasama untuk mengurangkan jumlah penghuni penjara ketika ini.
Sementara itu, Pengarah Penjara Sungai Buloh, Rosoman Abu Bakar@Che Din berkata pada bulan Syawal kini, seramai 27 penghuni Penjara Sungai Buloh terpilih dan diberi peluang untuk bertemu dengan anggota keluarga selama kira-kira tiga jam bermula 10 pagi tadi.
“Matlamat program ini adalah untuk memberi ruang kepada penghuni serta keluarga untuk berjumpa secara bersemuka dan peluang yang diberikan ini adalah sangat terhad.
“Majlis hari ini juga merupakan sebahagian daripada program pemulihan yang ditekankan oleh Jabatan Penjara Malaysia,” katanya.
Rosoman berkata banduan diingatkan supaya tidak mensiakan-siakan harapan keluarga untuk berubah kerana disudut hati keluarga mereka menginginkan sinar perubahan.
-- BERNAMA
|