Penjual ikan ditahan edar dadah
Tarikh kemaskini: 13/06/2019

SHAH ALAM, 13 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang penjual ikan kerana disyaki mengedar dan menjual dadah dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Seksyen 16 di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata lelaki yang berusia 39 tahun itu ditahan di rumahnya di pangsapuri berkenaan kira-kira pukul 2.15 petang.
"Hasil soal siasat ke atas suspek, kita telah merampas satu ketulan dadah jenis ganja seberat 145.7 gram yang disembunyikan di dalam sebuah bilik saluran elektrik di hadapan rumahnya.
"Pemeriksaan lanjut kemudiannya, kita turut menemui sembilan lagi ketulan kecil dadah di rumah suspek seberat 74.79 gram, dan berat keseluruhan ganja yang dirampas ini ialah 218.44 gram dengan nilai RM950," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata lelaki yang mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah, curi serta ugutan jenayah itu memperolehi bekalan dari Kuala Lumpur untuk dijual sekitar pangsapuri berkenaan dan Padang Jawa di sini.
Sementara itu, dalam kes berasingan, polis turut merampas 215 gram dadah jenis syabu bernilai RM2,250 selepas menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Jawa di sini, semalam.
Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada 1.30 petang ketika sedang berurusan menjual dadah.
"Hasil pemeriksaan pada badan dan sebuah beg plastik yang dibawa suspek, polis menemui 75 paket lutsinar mengandungi dadah jenis syabu," katanya.
Baharudin berkata kedua-dua suspek kini direman lima hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
|