Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah pastikan kesiapsiagaan pasukan keselamatan tingkat kawalan perairan


Tarikh kemaskini: 13/06/2019





KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan memastikan pasukan keselamatan terus mempertingkatkan lagi kesiapsiagaan dalam memastikan perairan negeri ini berada dalam keadaan terkawal, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sabah berkata langkah itu penting bagi terus memelihara keselamatan rakyat Sabah selain memastikan negeri ini bebas daripada sebarang ancaman tidak diingini seperti jenayah rentas sempadan khususnya penculikan.

"Isu seumpama ini (jenayah rentas sempadan) bukan perkara baharu (berlaku di Sabah). Bagaimanapun, apa yang penting ialah kita meningkatkan keupayaan dalam menangani masalah ini, apatah lagi Sabah adalah negeri yang sering dikunjungi ramai pelancong.

"Kita akan beri keyakinan (kepada pelancong tentang keselamatan di Sabah), dan saya akan memanggil (mesyuarat) bahagian keselamatan negeri untuk memastikan Sabah adalah kawasan selamat untuk dikunjungi bukan hanya pelancong tempatan bahkan juga luar negara.

"Kita tidak mahu ada tanggapan daripada luar (bahawa) kawasan ini (Sabah) tidak selamat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengenai ancaman Kumpulan Abu Sayyaf dipercayai berpangkalan di Jolo, Sulu terhadap kepulauan di timur Sabah masih tinggi meskipun Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) diwujudkan.

Pada Selasa, Abdul Hamid dalam laporan eksklusif bersama Bernama berkata serangan kumpulan itu boleh berlaku pada setiap hari dan pada bila-bila masa sahaja.

Oleh yang demikian, ESSCom akan membuat penyusunan dan penstrukturan semula daripada segi penempatan pasukan keselamatan negara melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah akan memberi kerjasama baik dengan Ketua Polis Negara untuk memastikan kawalan keselamatan di negeri ini dapat dipertingkatkan sekali gus jenayah rentas sempadan dapat ditangani.

"Apa yang penting kita meningkatkan kesiapsiagaan (pasukan keselamatan). Masyarakat juga perlu memberi kerjasama kerana kawalan keselamatan ini tidak hanya bergantung kepada pasukan keselamatan tetapi rakyat perlu membantu dengan memberi maklumat sekiranya ada anasir jahat supaya ia dapat ditangani dengan cepat," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel